Ibu bapa bimbang keberkesanan cadangan ujian diagnostik murid enam tahun memasuki darjah satu

CADANGAN pelaksanaan ujian diagnostik atau saringan bagi menentukan kelayakan kanak-kanak berumur enam tahun memasuki darjah satu mencetuskan kebimbangan pelbagai pihak yang menyifatkannya sebagai bercanggah dengan prinsip asas pendidikan awam dan perkembangan kanak-kanak.

Sebelum ini, pakar pendidikan, Dr Anuar Ahmad secara tegas menyifatkan ujian diagnostik atau saringan untuk menentukan kelayakan seorang kanak-kanak berumur 6 tahun masuk sekolah adalah satu pelanggaran prinsip asas pendidikan awam.

Katanya, ujian diagnostik hanya digunakan bertujuan mengenal pasti keperluan murid, bukan bertujuan mendiskriminasikan murid.

Kebimbangan itu turut dikongsi orang ramai dalam ruangan komen hantaran beliau, termasuk Rose Shiha menegaskan bahawa kanak-kanak berusia lima dan enam tahun seharusnya berada dalam fasa bermain, bukan dibebankan dengan tugasan akademik.

“Biarlah anak-anak seusia lima dan enam tahun berada dalam kelas pra atau tadika. Dalam lingkungan usia ini, mereka perlu bermain, bukannya dibebankan dengan kerja sekolah. Jangan bandingkan anak kita dengan anak orang lain.

“Kalau mahu perubahan, umumkan dahulu dan laksanakan dua atau tiga tahun akan datang, bukan secara tergesa-gesa,” ujarnya.

Seorang lagi pengguna, Zainab Bahadun mempersoalkan keperluan ujian diagnostik ke atas kanak-kanak berusia lima tahun sebagai prasyarat memasuki darjah satu.

“Ini hanya akan menampakkan jurang antara anak-anak golongan berpendapatan tinggi (T20) dan kumpulan berpendapatan rendah (B40). Ibu bapa di luar bandar yang hanya bergantung kepada tadika Kemas atau Pasti pasti terkesan,” katanya.

Pengguna Facebook tersebut turut mempersoalkan kesediaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dari segi silibus, penempatan kelas dan bilangan guru sekiranya kanak-kanak enam tahun dimasukkan ke darjah satu secara serentak.

Pandangan sama disuarakan pengguna Aimi Hannani yang menyifatkan langkah itu sebagai tidak inklusif.

“Sekarang dah jadi macam pencarian budak genius. Pendidikan sepatutnya inklusif, bukan selektif. Fasiliti, guru dan silibus masih belum bersedia,” katanya.

Pemilik profil Rusly Musa pula berkata, pelaksanaan dasar tanpa kajian kebolehlaksanaan yang menyeluruh akan membebankan sistem pendidikan negara.

“Jika satu kohort ada 400,000 murid, dua kohort bermakna 800,000 murid. Mana nak sumbat? Logistik, guru, buku teks dan peruntukan, semua tak siap.

“Kena turun di lapangan, tengok boleh laksana atau tidak. Buat dulu kajian kebolehlaksanaan, baru umum dasar. Ini tidak umum dulu, lepas tu pening nak mengoperasikannya,” katanya.

Sementara itu, seorang pengguna yang menggunakan nama Pejuang Bangsa turut meluahkan kebimbangan terhadap kesan jangka panjang dasar tersebut kepada kebajikan murid dan guru.

“Sebenarnya kena turun ke lapangan lihat apa kesannya nanti.. bilik darjah adakah mencukupi. Murid yangg berumur tujuh tahun ini pun masih ramai lagi yang kencing, berak dalam seluar. Bab menangis seharian waktu pembelajaran usah dipertikai, yang itu tak sah kalau tak ada yang menangis.

“Ramai murid tujuh tahun pun masih belum bersedia dari segi emosi. Jangan kerana politik, kita korbankan masa depan anak bangsa. Pendidikan bukan isu politik,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img