Jangan perjudikan pendidikan anak-anak… Ini bukan soal ‘cuba -cuba’ – Dr. Anuar

Oleh Dr Anuar Ahmad

DALAM amalan dasar pendidikan awam, apabila sesebuah kerajaan telah menetapkan umur mula masuk sekolah bagi negara tersebut, maka menjadi tanggungjawab semua sekolah awam memastikan anak-anak yang telah mencapai umur tersebut menerima pelajaran sebaik-baiknya.

Tiada alasan untuk sekolah awam menolak mana-mana anak warga negara mendapat hak persekolahan masing-masing. Apatah lagi dinafikan hak anak-anak ini dengan cara pemilihan atau amalan ‘discriminate’ melalui apa juga cara termasuk ujian saringan atau kelayakan. (Istilah ujian diagnostik/pengesanan adalah tidak tepat dalam situasi ini).

Rancangan Pendidikan Negara (RPN 2026-2035) adalah dokumen dasar pendidikan negara. Telah ditetapkan mulai tahun 2027, umur mula persekolahan di negara ini ialah pada usia kanak-kanak mencapai 6 tahun. Satu dasar pendidikan yang baik.

Apabila anak-anak telah mencapai umur persekolahan, maka menjadi tanggungjawab sekolah nanti untuk menyediakan semua keperluan anak-anak tersebut. Hatta anak-anak yang berkeperluan khas, anak-anak OKU, anak-anak berada dalam hospital atau anak-anak dari keluarga miskin tegar, semuanya wajib dibantu untuk mereka mula bersekolah apabila mencapai umur persekolahan. Itu adalah HAK asasi anak-anak untuk mendapat pendidikan bila mencapai umur persekolahan.

Apakah ada amalan dalam pendidikan awam, anak-anak yang telah mencapai umur persekolahan tetapi boleh ditolak dari bersekolah dengan alasan bimbang anak-anak ini belum bersedia?

Jawabnya TIDAK ADA.

Saya nak tanya, adakah dalam kalangan anak-anak tujuh tahun, semuanya cukup bersedia masuk sekolah? Mengapa tidak dilakukan ujian kelayakan juga pada mereka? Mengapa tidak pernah sesiapa pun selama ini bertanya ‘anak-anak 7 tahun bersedia atau tidak untuk mula sekolah?’

Jika diikutkan, bukan semua anak-anak yang berumur 7 tahun bersedia ke sekolah. Bukan semua anak-anak 7 tahun stabil emosi mereka atau pandai urus diri. Tetapi mereka tetap diwajibkan bersekolah mengikut Akta Pendidikan 1996.

Sebenarnya, tidak timbul lansung soal anak-anak usia 6 tahun bersedia atau tidak, layak atau tidak. Bila kerajaan telah tetapkan umur sekolah bermula 6 tahun, maka semua anak-anak ini layak masuk ke sekolah dan disambut oleh guru-guru.

Soal sama ada anak-anak 6 tahun bersedia atau tidak, bukan isunya. Apabila kerajaan telah membuat keputusan bahawa had usia anak-anak mula sekolah adalah 6 tahun, maka tanpa kecuali dan memberi sebarang alasan, semua kanak-kanak yang berumur 6 tahun mendapat hak persekolahan mereka.

Maka pihak sekolah akan menyediakan perancangan bagaimana untuk memenuhi keperluan pembelajaran setiap anak-anak ini. Sekolah wajib terima anak-anak ini dan melakukan perancangan bagaimana untuk mengurus keperluan mereka, bukan menafikan hak anak-anak untuk ke sekolah, apatah lagi dengan alasan kononnya anak -anak ini belum bersedia.

-Jika anak-anak tidak bersedia kerana ada masalah pembelajaran, maka guru-guru pemulihan disediakan di sekolah.

-Jika anak-anak tidak bersedia kerana ada isu emosi, maka kaunselor disediakan di sekolah.

-Jika anak-anak tidak bersedia kerana keluarga miskin tegar, maka bantuan kewangan disediakan di sekolah.

-Jika anak-anak tidak bersedia kerana lapar, tidak cukup makan, maka RMT disediakan di sekolah.

-Jika ada anak-anak tidak bersedia kerana tak ada alat tulis, uniform dan beg sekolah, maka pihak sekolah akan sediakan.

-Jika anak-anak tidak bersedia kerana mempunyai masalah menguruskan diri, guru-guru kelas disediakan untuk membantu anak-anak. Tanyalah rutin guru-guru kelas tahun satu. Banyak yang mereka telah lakukan untuk membantu anak-anak yang ‘tidak bersedia’ ini termasuklah uruskan anak-anak ini cara guna tandas sekolah.

Sekolah mempunyai tanggungjawab untuk membawa anak-anak yang telah mencapai umur persekolahan untuk datang sekolah. Jika anak-anak ada halangan atau tidak bersedia, berbagai bantuan disediakan. Itulah semangat sistem pendidikan negara kita selama ini. Sejak merdeka begitulah semangat kita. Membantu setiap anak-anak yang mencapai umur persekolahan untuk mendapat hak pendidikan.

Maksudnya, bila anak-anak mencapai umur persekolahan, tidak boleh ada sebarang halangan, saringan apatah lagi ditolak untuk anak-anak ini mula ke sekolah. Kerajaan bertanggungjawab memberikan sepenuhnya bantuan yang diperlukan oleh anak-anak tersebut.

Sebab itu, kena berhati -hati sebelum menentukan had umur mula persekolahan. Kena kaji sedalam -dalamnya. Kena jelas. Kita mampu atau tidak? Kita bersedia atau tidak?

Jangan sesekali dalam keadaan kita tidak bersedia, had umur persekolahan diturunkan. Jangan perjudikan pendidikan anak-anak. Kononnya, jika tunggu bersedia sepenuhnya, bila nak mula? Kena cuba dulu.

Ini bukan soal ‘cuba -cuba’. Ini soal pendidikan anak-anak. Setiap anak-anak 6 tahun yang dinafikan hak mula sekolah akan melalui satu pengalaman ‘diskriminasi’. Walaupun dinafikan hak mereka atas alasan kononnya ‘mereka belum bersedia’. Ini alasan yang sangat naif dan tidak konsisten. Ini isu kesenjangan pendidikan yang pasti akan melebar. Ini isu keadilan akses pendidikan yang diabaikan. Tentu tak ramai yang nampak ini isu yang serius.

Sebab itu, cadangan supaya ujian diagnostik (istilah yang tepat ialah ujian saringan atau ujian kelayakan) untuk dilaksanakan pada murid umur 6 tahun perlu dibatalkan. Biarlah semua anak-anak yang mencapai umur 6 tahun bersekolah. Apabila sudah masuk sekolah nanti, guru-guru dan pihak sekolah akan aturkan keperluan setiap anak-anak ini.

Cadangan mengadakan ujian seperti ini adalah tidak wajar dan  terang-terangan melanggar prinsip asas pendidikan awam. Malah jelas tidak menepati hasrat dan semangat pendidikan madani.

  • Dr. Anuar Ahmad adalah Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img