SEORANG lelaki melecur di muka, leher dan dada selepas disimbah asid dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Jeniang, Gurun, pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.15 pagi daripada seorang wanita yang memaklumkan mangsa yang berusia 36 tahun disimbah asid di lokasi kejadian.
Beliau berkata, mangsa yang juga pekerja kantin dan beralamat di Kampung Jeniang itu mengalami kecederaan melecur 11 peratus.
“Berikutan itu, polis berjaya mengesan dan menahan suspek berusia 36 tahun yang bekerja sebagai pemandu, pagi tadi.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai akibat cemburu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.
Hanyan berkata, suspek akan direman pagi ini untuk membantu siasatan berhubung kejadian itu.
Beliau berkata, mangsa pula kini dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).


