
FAKTANYA kekuatan Perikatan Nasional (PN) kini benar-benar bergantung kepada Pas. PN tidak boleh bergantung kepada Bersatu yang kini berhadapan dengan pergolakan dalaman serius berikutan pertembungan antara kumpulan pro Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
PN sudah pasti tidak berharap kepada parti Gerakan yang sehingga kini dilihat tidak ada keupayaan dan kekuatan untuk menyaingi bukan kata DAP malah MCA sekalipun. PN juga tidak boleh bergantung kepada Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) yang belum teruji sokongan dalam kalangan masyarat India.
Keadaan menjadi lebih parah bila kekuatan PN di Parlimen juga bergantung kepada Pas yang mempunyai 43 kerusi. Tidak ada Ahli Parlimennya digantung dan tidak ada Ahli Parlimen yang dipecat akibat krisis dalaman.
Ketika Gerakan dan MIPP tidak ada satupun kerusi Parlimen, Bersatu pula yang diliihat mahu ‘ dominan’ atau menjadi peneraju utama dalam PN, hanya ada 23 kerusi. Ketika PRU-15 Bersatu menang 31 kerusi tetapi berkurangan kepada 25 kerusi apabila enam ahli Parlimennya keluar parti dan menyokong Kerajaan Perpaduan.
Jumlah 25 kerusi berkurangan lagi apabila Bersatu memecat dua ahli Parlimennya iaitu Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor) dan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), pada masa sama Ahli Parlimen Machang, Wan Farsyal Wan Ahmad Kamal digantung keahlian.
Di negeri-negeri pula, Pas menguasai empat negeri selepas PRU-15 iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu. Walaupun di Perlis jawatan Menteri Besar sudah berpindah tangan kepada Bersatu namun ‘nyawa’ Kerajaan Negeri Perlis masih di tangan Pas yang menguasai 9 daripada 15 kerusi DUN.
Sebelum ini Pas ada 12 kerusi DUN tetapi ia berkurangan selepas tiga ADUNnya hilang kelayakan setelah melanggar Perlembagaan Pas apabila menandatangani akuan bersumpah (SD) menarik sokongan kepada ADUN Sanglang Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar. Pas boleh dianggap memerintah tiga lagi negeri secara mutlak iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Penulis paparkan rentetan ini untuk menunjukkan Pas yang ditubuhkan sejak tahun 1951 bukanlah calang-calang parti. Ketika parti Melayu lain semakin kehilangan sokongan atau bergantung kepada parti lain untuk menang pilihan raya atau menjadi kerajaan…Pas berdiri atas kekuatan sendiri.
Sokongan orang Melayu terhadap Pas semakin meningkat dari semasa ke semasa sehingga sudah ada yang meramalkan Pas akan menjadi persaing utama kepada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Terbaru kajiselidik oleh satu kumpulan daripada sebuah parti menunjukkan Pas berpeluang cerah menguasai salah satu negeri di Selatan. Ini bukan kajian oleh kumpulan daripada Pas yang pemimpin Pas menjadi penasihat atau pengerusi..ini daripda parti lain…sama ada akan jadi kenyataan atau tidak, tunggu sahaja pilihan raya.
Tetapi apa yang lebih penting mahu diperkatakan ialah kenapakah Pas dilihat bagaikan ‘dibuli’ dalam PN? Pas sudah bermurah hati memilih Hamzah sebagai Ketua Pembangkang, Pas juga bersetuju Muhyiddin menjdi Pengerusi PN. Tiada isu dalam soal kedua-dua pelantikan tersebut sebelum ini.
Bagaimanapun apabila berlaku peletakan jawatan Pengerusi PN oleh Muhyiddin dan Pas bersetuju untuk menerajui PN dengan melantik salah seorang pemimpinnya menduduki jawatan itu, kenapa pemimpin Bersatu membantah?
Tidak kiralah siapapun yang menjadi pilihan Pas sepatutnya Bersatu menyokong manakala Gerakan dan MIPP perlu akur. Kenapa pula Bersatu tidak bersetuju jika Naib Presiden Pas Datuk Seri Dr Samsuri Mokhtar menjadi Pengerusi PN? Kenapa pula Gerakan dan MIPP nak mengada-ngada menolak jika Pas menjadi Pengerusi?
Dalam Perlembagaan PN tidak ada klausa yang mengatakan bahawa Pengerusi PN mesti seorang Presiden parti. Kalau macam itu kenapa pula tidak persoal jawatan Ketua Pembangkang mesti Presiden parti…sebab itulah ‘tradisi-tradisi’ blok pembangkang sebelum ini. Tetapi itu tidak mengapa kerana Pas yang sukarela menyebut nama Hamzah bagi menduduki jawatan itu.
Bagi jawatan Pengerusi PN, Pas berhak melantik sesiapa sahaja sebagai Pengerusi PN tetapi kenapa Pas dilihat ‘terlalu berlembut’ hinggakan mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada Khamis ini dibatalkan sebaliknya ‘’ Mesyuarat itu telah ditukar kepada mesyuarat pra-majlis di kediaman Muhyiddin’’ – sepertimana kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Difahamkan mesyuarat itu bertujuan untuk mewujudkan Majlis Presiden yang akan dianggotai oleh semua Presiden parti komponen PN. Khabarnya majlis itu akan menjadi setaraf majlis syura, maknanya apa juga keputusan Pengerusi PN harus dirujuk kepada Majlis Presiden.
Soalnya kenapakah Pas beralah? Tak kanlah apabila dalam Majlis Presiden akan ada pulak Pengerusi Majlis Presiden yang boleh menyebabkan individu berkenaan merasakan beliaulah bakal calon Perdana Menteri PN?
Jadi apa fungsi Pengerusi PN? Adakah sekadar memenuhi jawatan yang kosong sahaja? Kalau mahu wujud juga Majlis Presiden, Pengerusinya mesti parti yang mempunyai kerusi paling banyak di Parlimen atau paling baik hanya pengerusi majlsi itu setakat mempengerusikan masa mesyuarat sahaja secara bergilir.
Bersatu sudah jadi Ketua Pembangkang, Bersatu pernah jadi Pengerusi PN, tak kanlah jawatan Pengerusi Majlis Presiden PN pun Bersatu nak jugak…habis tu apa gunanya Pas sebagai tongggak kekuatan PN? Apa bezanya Pas dengan Gerakan dan MIPP?
Justeru Pas sepatutnya sudah-sudahlah beralah kerana penulis tahu sentimen dalam Pas ‘semakin panas’ dalam soal hubungan dengan Bersatu.’Kepanasan’ itu tercetus di Perlis, jangan sampai keputusan mesyuarat pra majlis di Bukit Damansara ‘mencetuskan kebakaran’ dalam soal kedudukan Pas dalam PN.
Ia kerana penulis difahamkan dalam Pas sentimen semakin tinggi mahukan parti itu meninggalkan Perikatan Nasional, malah ada pemimpinnya sudah melontarkan cadangan tersebut. Keadaan itu berikutan mereka melihat Pas bagaikan diperkotak-katik oleh Bersatu.
Sama-samalah kita tunggu apa kesudahan mesyuarat ‘pra majlis’ PN Khamis ini. Apapun keputusannya, hubungan antara Bersatu Pas tidak akan seperti dulu dan ia akan makin ketara apabila pilihan raya…percayalah..


