TIGA penjenayah dikehendaki yang ditahan di Mumbai, India, Ahad lalu, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sekitar pukul 7 pagi ini.
Ketiga-tiga mereka yang juga orang kanan geng ‘Kapten Praba’ diterbangkan dengan pesawat komersil diiringi kawalan ketat pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Mereka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Chhatrapati Shivaji Maharaj (CSMIA) Mumbai, sekitar pukul 1 pagi (waktu tempatan), lapor Berita Harian.
Sejurus mendarat di KLIA suspek diiring terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang dan dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Sepang bagi permohonan reman.
Ketiga-tiga penjenayah yang disenaraikan sebagai Orang Paling Dikehendaki dalam Notis Merah (Red Notice), Polis Antarabangsa (INTERPOL).
Mereka kini ditahan di bawah kawalan keselamatan paling ketat berikutan risiko tinggi yang dikaitkan dengan penahanan mereka.
Terdahulu, ketiga-tiga penjenayah berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan oleh pasukan keselamatan di CSMIA, pada Ahad lalu, selepas bertindak ganas sebaik tiba di Mumbai.
Mereka bertindak sedemikian selepas diusir dari United Kingdom (UK) apabila pegawai imigresen di Lapangan Terbang Manchester, yang sudah dimaklumkan mengenai status ketiga-tiga individu itu sebagai ‘penjenayah berprofil tinggi’, menolak kemasukan mereka.
Memandangkan mereka tiba melalui penerbangan dari Mumbai, protokol antarabangsa menetapkan penjenayah terbabit perlu dihantar semula ke lokasi berlepas terakhir.
Apabila penerbangan dari Manchester mendarat di Mumbai, ketiga-tiga lelaki itu menyedari mereka terperangkap, sekali gus bertindak ganas bagi mengelak ditahan.
Tindakan ‘nekad’ ketiga-tiga mereka menyerang anggota keselamatan di Mumbai disebabkan keadaan terdesak yang dihadapi, didorong tekanan hebat yang menanti mereka sekiranya ditahan dan diserahkan kepada pihak berkuasa di Malaysia.
Mereka dikenal pasti sebagai individu utama yang menjadi sasaran ‘Ops Jack Sparrow’, operasi besar-besaran yang dilancarkan PDRM sebelum ini.
Dalam operasi yang dijalankan pada September tahun lalu itu, PDRM menahan 17 ahli kumpulan kongsi gelap di beberapa negeri.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata tangkapan itu dilakukan menerusi operasi bersepadu oleh JSJ Bukit Aman pada 11 September, membabitkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perak.
Kumpulan itu dipercayai aktif sejak 2023 dan mempunyai seramai 33 ahli, dengan individu yang digelar ‘Kapten Praba’ dikenal pasti sebagai ketua kumpulan.
Semua suspek berusia antara 19 hingga 44 tahun dipercayai terbabit dalam pelbagai jenayah kekerasan, termasuk pembunuhan, serangan menggunakan senjata berbahaya, samun berkumpulan serta kes khianat dengan api.
Siasatan awal mendapati tindakan terhadap kumpulan itu diambil susulan satu serangan di Taman Sentosa, Klang, awal tahun lalu, apabila seorang lelaki diserang sekumpulan individu bersenjata api dan parang.
Mereka juga dikaitkan dengan kes pembunuhan seorang lelaki di sebuah restoran di Brickfields, di sini, pertengahan tahun lalu, selain beberapa kes jenayah terancang lain.


