AKPS gagalkan cubaan seludup e-waste dan buangan industri di Pelabuhan Klang Barat

AGENSI Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Malaysia menggagalkan cubaan menyeludup buangan terjadual (e-waste) dan sampah industri serta komersil selepas menahan lima kontena di Gudang CFS 4, Pelabuhan Klang Barat, semalam.

Komander Pintu Masuk Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, hasil pemeriksaan mendapati kontena berkenaan membawa barangan elektronik terpakai, kabel wayar serta sampah industri dan komersil.

“Dua dari kontena membawa buangan terjadual e-waste iaitu barangan elektronik terpakai seperti pencetak, desktop, pemproses (CPU) dan lain- lain peralatan komputer terpakai yang dihancurkan manakala dua lagi membawa kabel wayar yang dihancurkan serta satu kontena membawa sampah industri dan komersil.

“Jumlah berat dagangan ialah 125,037 kilogram (kg) dan kontena ini dari Amerika Syarikat; Sepanyol, Korea dan Taiwan.

“Siasatan lanjut mendapati dagangan ini dibawa masuk ke Pelabuhan Klang Barat sekitar tahun 2024, 2025 dan yang terkini pada 24 Januari lalu dengan memalsukan pengikraran dagangan,” katanya pada sidang media di Pelabuhan Barat Klang, hari ini, lapor Harian Metro.

Beliau berkata, pemalsuan pengikraran adalah kesalahan mengikut Seksyen 133 Akta Kastam 1967.

Katanya, pemeriksaan juga mendapati satu kontena tiada dalam rekod sistem maklumat Kastam yang mana ia dipercayai tidak diikrar untuk masuk ke dalam negara.

Mengulas lanjut, Nik Ezanee berkata, pihaknya akan meneruskan pemeriksaan terhadap kontena lain bagi memastikan negara ini tidak menjadi tempat pembuangan sampah atau ‘dumping’ barangan toksik seperti e-waste.

“Dalam masa sama, kita membangunkan risikan dengan meneliti senarai ejen yang berurusan di Pelabuhan Klang. Kita akan kaji semula syarikat-syarikat mana, siapa individu-individu, bagaimana mereka berdaftar serta prosedur operasi standard (SOP) yang digunakan.

“Daripada situ, kita dapat mengenal pasti kelemahan dan menambah baik sistem sedia ada,” katanya.

Beliau berkata, kemasukan bahan buangan terjadual adalah dilarang sama sekali menurut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 justeru kesemua kontena terlibat telah ditahan bagi tujuan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“AKPS ingin menegaskan bahawa pihak kami tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan membawa masuk dagangan, khususnya produk haiwan, tanpa pematuhan kepada syarat perundangan, kerana ia boleh memberi risiko kepada keselamatan biosekuriti, kesihatan awam serta industri tempatan,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img