AKPS sekat kemasukan 9 kontena e-waste dari AS

AGENSI Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Pelabuhan Klang menahan sembilan kontena dari Amerika Syarikat (AS) yang membawa sisa elektronik atau e-waste dengan berat keseluruhan lebih 201 tan di Pelabuhan Klang Barat di Klang hari ini.

Komander Kawalan Pintu Masuk AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pemeriksaan pada jam 10.45 pagi itu dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia Berhad (SIRIM), Lembaga Pelabuhan Klang serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.

“Pemeriksaan mendapati tujuh daripada kontena itu tidak diikrar secara sah untuk masuk ke negara ini.

“Kesemua kontena tersebut membawa dagangan yang menjadi larangan mengimport di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Nik Ezanee, lima kontena mengandungi e-waste, manakala empat lagi membawa e-waste bercampur bahan buangan terjadual seperti komponen automotif yang dihancurkan serta besi buruk.

Katanya, barangan yang dirampas terdiri daripada unit pemprosesan komputer (CPU) terpakai, mesin pencetak dan sisa logam bercampur bahan automotif yang berpotensi mencemarkan alam sekitar melibatkan berat keseluruhan rampasan 201,303 kilogram.

Beliau berkata, kontena-kontena e-waste akan ditempatkan di kawasan selamat sementara menunggu notis daripada JAS Selangor dan JAS Pusat bagi tujuan pengeksportan semula.

“AKPS akan meneruskan pemeriksaan ke atas kontena dagangan yang disyaki membawa sisa terlarang.

“Kami akan terus memperkukuh kawalan dan penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi memastikan kedaulatan sempadan dan kepentingan negara sentiasa terpelihara,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img