Lebih 20,000 unit minyak wangi, krim kulit tiruan dirampas bernilai RM1.43 juta

LEBIH 20,000 unit barangan tiruan melibatkan minyak wangi dan produk penjagaan kulit berjenama terkenal bernilai kira-kira RM1.43 juta dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dalam satu operasi khas sekitar ibu negara, semalam.

Serbuan menerusi Operasi Akta Cap Dagangan 2019 (OPS ACD 2019) itu membabitkan dua premis perniagaan di sekitar Kuala Lumpur bersama tiga wakil pemilik cap dagangan berdaftar.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDN WPKL, Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, pemeriksaan mendapati kedua-dua premis disyaki memiliki, menjual serta menawarkan barangan yang dipakaikan cap dagangan palsu, sekali gus melanggar peruntukan di bawah Akta Cap Dagangan 2019.

Menurutnya, ketika serbuan dijalankan, kedua-dua premis didapati beroperasi dengan kehadiran pekerja serta pemilik yang merupakan warganegara.

“Siasatan awal mendapati premis terbabit telah beroperasi sejak kira-kira dua tahun lalu dan bekalan barangan diperoleh daripada pembekal luar negara sebelum dipasarkan di pasaran tempatan.

“Premis ini juga disyaki menjual barangan berkenaan kepada pelanggan sekitar Lembah Klang selain aktif memasarkan produk melalui platform dalam talian kepada pelanggan di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, sebanyak 20,357 unit barangan melibatkan minyak wangi dan krim penjagaan kulit berjenama terkenal disita antaranya Louis Vuitton, Gucci, Chanel, Hermes, Yves Saint Laurent, Burberry, Chloe, Lancome, Calvin Klein, Jo Malone, Dior dan Versace yang dianggarkan berjumlah RM1,433,062.

Susulan itu, dua kertas siasatan dibuka di bawah Akta Cap Dagangan 2019 manakala kesemua orang kena tahan (OKT) ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img