TIGA ahli kumpulan penjenayah `Kapten Praba’ yang dikehendaki polis kerana terlibat dalam kumpulan jenayah terancang didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang hari ini.
Ketiga-tiga mereka, C Navindren Raj, 38, S Praftifkumar, 30, dan S Sridharan, 30, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Bagaimanapun tiada pengakuan dibuat selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Tamil kerana pertuduhan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) itu berada di bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara Disember 2023 sehingga 11 September 2025 bertempat di ladang kelapa sawit lorong berhadapan Jalan Mahang 2, Kampung Sungai Jarom, Jenjarom di daerah Kuala Langat mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan [Akta 574].
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim, V V Suloshani dan Lina Hanini Ismail.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, ketiga-tiga suspek ditangkap dalam Operasi Jack Sparrow oleh JSJ Bukit Aman berdasarkan waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Sesyen Sepang pada 14 Januari lalu.
“Tangkapan telah dibuat pada 28 Januari (hari ini). Penangkapan tersebut dibuat dengan kerjasama dan bantuan pihak berkuasa tempatan di Mumbai, India sebelum kesemua mereka dibawa pulang ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Kumar, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa India atas kerjasama erat yang diberikan dan menegaskan komitmen berterusan dalam menegakkan kedaulatan undang-undang.
Ketiga-tiga suspek sebelum itu tiba kira-kira jam 2.35 petang di Mahkamah Sesyen Sepang dengan kawalan ketat anggota JSJ PDRM yang lengkap berpakaian taktikal sebelum diiringi masuk ke kamar perbicaraan.
Media pagi ini melaporkan tiga lelaki terbabit telah ditahan di Mumbai, India, Ahad lalu selepas bertindak ganas sebaik tiba di negara itu.
Mereka bertindak sedemikian selepas diusir dari United Kingdom (UK) apabila pegawai imigresen di Lapangan Terbang Manchester yang sudah dimaklumkan mengenai status ketiga-tiga individu itu sebagai ‘penjenayah berprofil tinggi’ menolak kemasukan mereka.
Susulan itu, kesemua suspek telah diterbangkan dengan pesawat komersial diiringi kawalan ketat pegawai dan anggota JSJ Bukit Aman dari Lapangan Terbang Antarabangsa Chhatrapati Shivaji Maharaj (CSMIA) Mumbai sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi ini.
Mereka kemudian diiringi sepasukan polis dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang untuk proses dokumentasi sebelum didakwa petang ini.


