3 rakyat Iran didakwa rompak barang kemas pesara

TIGA rakyat Iran termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang pesara membabitkan kerugian RM30,000, awal bulan ini.

Kesemua tertuduh, Arash Razmkhah, 28, Mahdi Javanpour, 18, dan ibu saudara Mahdi, Sahar Javanpour Ahmad, 35, didakwa merompak cincin serta rantai tangan emas milik lelaki berusia 81 tahun itu di depan sebuah rumah di Taman Sri Petaling pada jam 6.20 petang, 9 Januari lalu.

Ketiga-tiga tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan itu, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Syafina Mohd Redzuan tidak menawarkan jaminan kerana ketiga-tiga tertuduh ialah warga Iran.

Bagaimanapun, menurutnya, jika mahkamah menggunakan budi bicara dengan membenarkan jaminan, pihaknya memohon jumlah jaminan yang tinggi berserta syarat tambahan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam K Komagan yang mewakili tiga individu itu memohon mahkamah membenarkan jaminan minimum memandangkan mereka masuk ke Malaysia menggunakan visa pelancong pada 9 Januari lepas, menanggung keluarga selain tidak membantah syarat tambahan pendakwaan.

Hakim Mazuliana Abdul Rashid menetapkan sebutan kes pada 27 Februari ini dan membenarkan jaminan RM30,000 dengan dua penjamin warga Malaysia bagi setiap tertuduh serta syarat tambahan dimohon pihak pendakwaan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img