POLIS berjaya menahan tiga lelaki berhubung kes pecah masuk sebuah pejabat di Villa Shoplex Pudu Impian, Jalan Pudu Ulu, Cheras, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, kejadian dipercayai berlaku pada 26 Januari lalu kira-kira pukul 7 pagi apabila seorang lelaki yang merupakan pemilik pejabat berkenaan mendapati premisnya telah dipecah masuk melalui siling bumbung.
“Hasil pemeriksaan mendapati beberapa barangan elektrik telah dicuri dengan anggaran kerugian berjumlah RM18,500,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Rosdi berkata, pihaknya menjalankan beberapa siri tangkapan sekitar kawasan Ampang dan Cheras pada 27 Januari kira-kira jam 2 pagi.
“Tangkapan melibatkan seorang lelaki Melayu, seorang lelaki Cina serta seorang lelaki warga Indonesia berusia antara 24 hingga 54 tahun.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Siasatan awal mendapati kesemua suspek mengaku terlibat dalam kejadian tersebut dan polis turut merampas beberapa barangan elektrik milik mangsa termasuk sebuah pencetak dan projektor.
“Permohonan reman terhadap semua suspek selama empat hari bermula 27 hingga 30 Januari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” ujarnya.


