POLIS menumpaskan kegiatan melibatkan pasangan suami isteri warga China yang menjadikan sebuah kondominium mewah di Desa Park City, Kuala Lumpur sebagai makmal memproses dadah dalam serbuan pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, premis yang disewa pada harga mencecah RM6,000 dijadikan makmal dadah sejak tiga bulan lalu.
“Bertindak atas maklumat risikan, sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Sentul menyerbu sebuah unit kondominium di tingkat 49 premis terbabit.
“Polis menahan seorang lelaki warga China berusia 46 tahun dan wanita warga China berusia 39 tahun yang berada di ruang tamu kediaman berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini, lapor Berita Harian.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemukan kira-kira 34 gram (g) dadah jenis ketamin di dan 53.79 g methamphetamine serta pelbagai peralatan termasuk bahan disyaki untuk memproses dadah ditemui dalam salah satu bilik di premis berkenaan.
Katanya, suspek dipercayai menggunakan premis itu bagi memproses, membungkus dan menyimpan pelbagai jenis dadah sebelum diedarkan disyaki bagi pasaran sekitar Lembah Klang.
Ahmad Sukarno berkata, pihak polis menemui 1,878 g dadah jenis ketamin, methamphetamine (380g), kokain (62g), serbuk MDMA (7,151g).
“Selain itu polis turut menemui 10 botol cecair MDMA, cecair sodium chloride,dan beberapa bahan kimia lain disyaki digunakan untuk memproses dadah dengan berat keseluruhan cecair MDMA 37,445g.
“Kesemua rampasan dadah termasuk cecair dianggarkan bernilai RM164,496 dan siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengenalpasti ahli sindiket lain yang terlibat dan sumber bekalan diperolehi.
“Hasil dari tangkapan dan rampasan tersebut, pihak polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah MDMA di kawasan daerah Sentul,” katanya.
Menurutnya, semakan rekod mendapati suspek lelaki masuk ke Malaysia sejak November lalu manakala isterinya baru seminggu tiba.
Katanya, kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula 23 hingga 29 Januari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.


