Mahkamah Tinggi tolak permohonan peguam Albert Tei cabar arahan SPRM

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman dikemukakan peguam Mahajoth Singh bagi mencabar dua arahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan anak guamnya iaitu ahli perniagaan Albert Tei, yang didakwanya melanggar hak keistimewaan peguam-anak guam.

Hakim Alice Yoke Yee Ching ketika menolak permohonan itu memutuskan perkara yang berkaitan dengan proses penyiasatan pihak penguat kuasa tidak tertakluk kepada semakan kehakiman.

Berkaitan dakwaan SPRM berniat jahat menerusi pengeluaran notis bercanggah dengan undang-undang, mahkamah mendapati ia tidak dapat dibuktikan.

“Atas sebab-sebab ini, saya mendapati bahawa tiada hujah yang kukuh untuk memberi kebenaran. Saya tidak membuat sebarang perintah mengenai kos,” kata hakim itu, lapor Bernama.

Mahajoth sedang memohon perintah certiorari untuk membatalkan notis bertarikh 29 dan 30 November 2025, yang memerlukan beliau hadir untuk disoal siasat dan mengemukakan dokumen di bawah Seksyen 30(1)(a) dan (b) Akta SPRM.

Mahajoth menyatakan beliau menerima arahan terbabit selepas Albert ditahan oleh suruhanjaya berkenaan pada 28 November dan dibawa ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya, yang didakwanya tanpa sebarang penjelasan munasabah.

Antara barangan yang diminta SPRM dalam arahan itu adalah telefon bimbit Albert, dokumen berkaitan pembelian perabot, pakaian, sebuah kamera serta salinan perbualan WhatsApp antara Albert dan beberapa individu.

Peguam Persekutuan V Krishna Priya mewakili SPRM, manakala Mahajoth diwakili peguam N Surendran dan Rajesh Nagarajan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img