PERUNTUKAN sebanyak RM254 juta bagi pelaksanaan 28 program pembangunan koperasi bagi tahun ini akan memberi galakan kepada sektor itu untuk terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Co-opbank Pertama (CBP), Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata, CBP menyifatkan peruntukan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) itu sebagai salah satu galakan untuk gerakan koperasi di negara ini.
“Sebagai sebuah bank koperasi, CBP melihat peruntukan ini memberi galakan kepada koperasi untuk terus menjadi salah satu sektor yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara menerusi geran dan pembiayaan.
“Kami di CBP akan terus menyokong gerakan koperasi di negara ini menerusi produk-produk seperti CBP CoSTART, deposit dan pembiayaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim berkata, peruntukan itu adalah tertinggi diberikan sejak penubuhan gerakan koperasi pada 1922 iaitu sebanyak 167 peratus berbanding tahun lalu.
Kata Steven, sebanyak RM27.9 juta diperuntukkan dalam bentuk geran melalui 20 program di bawah Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi (KWAPb), Kumpulan Wang Pusat (CCF) serta Bajet Pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Ini bagi menyokong pengadaptasian teknologi, pemerkasaan federasi koperasi, penerapan kelestarian dan teknologi hijau, pendigitalan operasi, pengukuhan keupayaan eksport, peningkatan nilai komersial produk serta bantuan permulaan dan pemulihan perniagaan koperasi.
“Selain itu, dalam usaha memperkukuh akses kepada pembiayaan, sebanyak RM226 juta pula akan disalurkan melalui Pembiayaan Tabung Modal Pusingan SKM yang merangkumi lapan program yang bertujuan menyokong keperluan modal kerja, pengembangan perniagaan serta peningkatan keupayaan dan daya saing koperasi,,’’ kata beliau.
Mengulas lanjut, Khairil Anuar berkata, peruntukan dana itu juga membuktikan komitmen kerajaan dalam membantu gerakan koperasi di negara ini dan secara tidak langsung menyokong pertumbuhan ekonomi masyarakat.
“Selain itu CBP melihat ia sebagai penghargaan kepada gerakan koperasi dan CBP akan sentiasa membantu serta menyokong usaha baik kerajaan dalam membangunkan gerakan koperasi di negara ini,” katanya.


