POLIS menahan dua warga China yang dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan menguruskan laman web lucah yang menyasarkan mangsa rakyat Hong Kong.
Kedua-dua suspek yang berusia 28 dan 31 tahun ditahan dalam serbuan sepasukan anggota dan pegawai dari bahagian risikan di sebuah unit kondominium di Cheras, Kuala Lumpur selepas polis menerima maklumat mengenai kegiatan tersebut.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, dalam serbuan itu polis merampas telefon bimbit bernilai RM25,000 dan suspek dipercayai beroperasi dari unit kondominium berkenaan sejak enam bulan lalu.
“Mangsa yang berminat akan menonton secara langsung kandungan aksi lucah atau bogel dalam waktu yang terhad di mana mangsa diminta untuk membuat bayaran berikutnya bagi membolehkan laman tersebut terus diakses.
“Bagaimanapun, setelah mangsa membuat bayaran, mangsa tidak dapat perkhidmatan sepertimana yang dijanjikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, siasatan lanjut mendapati sindiket itu hanya bertanggungjawab mengawal dan mentadbir platform dalam talian berkenaan.
“Semua urusan melibatkan transaksi pembayaran dan akaun dipercayai diuruskan oleh kumpulan lain yang masih bebas,” katanya.
Kes ini kata Mohd Rosdi, disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 120B kerana pakatan jenayah.
Kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula hari ini, tambahnya.


