SEORANG pemuda berusia 23 tahun direman dua hari bermula hari ini selepas merempuh dua motosikal Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Polis di Kilometer 8, Jalan Johor Bahru-Air Hitam, awal pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 4 pagi itu, dua anggota polis masing-masing berusia 29 dan 36 tahun sedang bertugas mengawal lalu lintas di lokasi kemalangan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, salah seorang anggota polis cedera pada kaki kiri dan dikejarkan Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini manakala seorang lagi terselamat.
Siasatan awal mendapati, kereta yang dipandu lelaki berusia 23 tahun itu dari arah Skudai itu dipercayai hilang kawalan lalu melanggar dua motosikal jenis Kawasaki EX250 milik URB yang diletakkan berhampiran lokasi kejadian.
“Hasil saringan ujian pernafasan alkohol terhadap pemandu itu didapati positif, manakala ujian awal air kencing pula negatif dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau dadah.


