Petanda buruk untuk masa depan negara apabila ramai guru pencen awal

 

RENCANA saya dalam ruangan ini yang bertajuk ‘Pembinaan jati diri pelajar tidak ke mana, kalau sekadar berkhemah di padang sekolah’  pada 24 Ogos lalu menarik minat pembaca terutama golongan pendidik yang memberi pelbagai reaksi positif menyokong fakta dan mengakui realiti yang dibentangkan.

 Minggu ini, saya ingin mengulas pula fenomena membimbangkan iaitu ramai guru sekolah rendah dan menengah yang pencen awal hingga mencecah 19,179 orang dari tahun 2022 hingga tahun 2024. Jumlah ini tidak boleh diukur sebagai kes kecil apabila dibandingkan dengan peratusan keseluruhan guru di Malaysia kerana yang bersara wajib juga bukanlah  angka kecil.

Sebagai graduan pendidikan 30 tahun lalu dan berkecimpung dalam dunia pendidikan (swasta dan awam) hingga kini, saya melihat fenomena ini adalah sangat bahaya kerana bidang pendidikan adalah penentu kejayaan masa depan negara

Pada hari ini pun, banyak kepincangan dalam negara, khususnya pembangunan modal insan disebabkan kelemahan dasar dan pelaksanaan sistem pendidikan negara sebelum ini (terutama dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini).

Secara jujur saya katakan bahawa masih belum kelihatan reformasi pendidikan yang sudah sampai ke tahap ‘revolusi struktur’. Akhirnya ia (pendidikan kita) ibarat kapal rosak yang hanyut di lautan menunggu masa untuk tenggelam.

Apapun selain melahirkan keresahan saya, artikel ini juga dihasilkan dengan mengambil kira pandangan sahabat-sahabat yang bertugas di sekolah mahupun pejabat pendidikan. Turut tidak ketinggalan tokoh-tokoh pendidian bergelar Tan Sri dan Datuk yang pernah menerajui Kementerian Pendidikan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kam Woh ketika membentangkan isu guru pencen awal di Parlimen baru-baru ini berkata, antara faktor utama guru-guru memohon pencen awal disebabkan tidak berminat lagi dengan profesion perguruan untuk menjadi pengajar (67.44 %), alasan keluarga (17.43 %), masalah Kesihatan (7.69 %) dan masalah peribadi (2.08 %).

Penulis menganjurkan acara bertaraf nasional dalam sekuriti makanan dan TVET dengan jumlah tajaan yang besar 15 tahun lalu dalam usaha menyokong pembangunan pendidikan di sekolah.

Bagi saya, alasan pertama iaitu tidak berminat lagi untuk mengajar perlu dilihat secara serius supaya profesion perguruan tidak pula menjadi krisis pendidikan pada masa depan.

Ketika saya bertanya kepada sahabat-sahabat yang bertugas sebagai guru, mereka mengesahkan ramai guru sudah tidak berminat mengajar kerana tidak dapat menerima perubahan dalam kemajuan pendidikan era ICT ini, beban tugas selain mengajar dan berhadapan dengan aduan pelbagai pihak terutama kerenah ibu-bapa.

Apabila UPSR dan PT3 dimansuhkan, penilaian berasaskan sekolah seperti Ujian Akhir Sesi Akademik dan Pentafsiran Bilik Darjah (PBD) telah memberi tekanan kepada guru untuk memberi tumpuan kepada prestasi setiap pelajar yang memerlukan rekod-rekod berkomputer diserahkan kepada pentadbir dan jabatan pendidikan.

Kerja-kerja bersifat perkeranian seperti memasukkan data ini sukar diadaptasikan oleh guru-guru senior. Sebahagian masa dianggap habis untuk tugas sedemikian.

Sesetengah guru pula mendakwa, tekanan pentafsiran dan penilaian seumpama itu akan menyebabkan berlakunya  ‘penilaian jalan selamat dan tidak berisiko untuk merungsingkan’ terpaksa dibuat. Berilah markah yang tidak akan dipertikaikan walaupun mungkin tidak benar atau tidak tepat (sebenarnya boleh dipertikaikan).

Selain itu, faktor sikap dan kepimpinan sekolah juga menentukan sama ada guru akan stress atau tidak. Di sinilah bakat dan kebijaksanaan kepimpinan sekolah untuk mengimbangi prestasi pencapaian dan kebajikan guru terpelihara.

Namun, realitinya antara cabaran di sekolah ialah kekangan dana, kekurangan guru dan pergerakan guru setiap hari yang terpaksa menggantikan guru-guru tidak hadir  disebabkan berkursus, cuti bersalin, cuti sakit, sehinggalah ada ustaz yang terpaksa meninggalkan sesi pembelajaran untuk menyiapkan padang sekolah atas arahan Pejabat Pendidikan.

Semua situasi itu berlaku kerana keadaan  hari ini tidak seperti dahulu yang mana ada ramai guru ganti.

Ramai guru bercerita mengenai kesan negatif daripada Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA). Ia memandangkan mereka terpaksa berhadapan dengan aduan ibu-bapa yang kadang-kadang tidak berasas. Malah setelah siasatan dibuat, banyak kes didapati tidak benar tetapi cikgu-cikgu sudah berhadapan dengan siasatan yang meletihkan dan kadang-kadang memalukan.

Difahamkan ada juga pentadbir yang menjadi mangsa perselisihan faham antara guru atau sesama rakan penjawat yang berniat untuk mengenakan pentadbir. Saya pernah mendengar keluahan seorang guru besar yang dikenakan dengan 20 pertuduhan salah laku menerusi SISPAA . Akhirnya setelah disiasat ternyata aduan berkenaan adalah fitnah untuk menjatuhkan reputasi beliau. Kes berakhir tanpa sebarang pertuduhan.

Jika mahu  dibincangkan, memang berjela untuk saya tulis berdasarkan kisah kawan-kawan dalam sistem pendidikan sekolah ini. Bagaimanapun untuk cuba berlaku adil saya katakan bahawa masalah pencen awal disebabkan oleh guru-guru itu sendiri yang sudah tidak mampu mengharungi cabaran zaman baru dan menyesuaikan diri dengan perubahan pendidikan.

Manakala dasar dan operasi pendidikan pula turut menyumbang kepada tekanan hingga cikgu-cikgu memilih untuk pencen awal.

Melangkah ke hadapan, pendidikan negara perlu dipimpin oleh seorang menteri yang memahami serta berlatar belakangkan bidang pendidikan.  Manakala kepimpinan utama  jabatan seperti Ketua Pengarah dan ketua seksyen perlu diisi oleh mereka yang benar-benar berkaliber (bukan pilihan politik semata-mata).

 Mereka perlu diberi tempoh masa yang cukup untuk memegang jawatan  sekurang-kurangnya 5 tahun supaya proses perubahan, penambahbaikan dan dinamika pendidikan dapat dilakukan dengan baik.

Selain itu, pengajian berkaitan pendidikan di peringkat pengajian tinggi perlu menekankan kepada persediaan guru untuk menempuh cabaran secara fizikal dan emosi serta bersedia mengadaptasi dan tahan diuji zaman.

Zaman saya dahulu, mengikuti pengajian pendidikan disebut sebagai ‘perguruan’ iaitu bermakna kita  dididik dan dilatih untuk bersedia menjadi guru serta dijamin jawatan guru daripada awal. Hari ini, ramai yang mengambil jurusan pendidikan yang belum diatur perjalanan kerjayanya.

Semua ini wajar dibincangkan dan perlu digerakkan untuk memastikan kualiti pendidikan kita dapat menjamin masa depan negara dan profesion perguruan tidak akan menghadapi krisis pada masa hadapan.

Semua pihak perlu duduk semeja iaitu Kementerian Pendidikan, guru-guru, ibu bapa dan pihak ketiga yang berminat untuk menyumbang ke arah menjadikan profesion perguruan terus kekal diminati dan dinamik. Menteri Pendidikan jangan emosi dan takut merendah diri  untuk menjemput kami.

  • Penulis adalah usahawan dan aktivis sosioekonomi.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img