Sudah 22 tahun konflik….BRN perlu pilih jalan demokrasi bukan lagi konfrantasi

Oleh Penulis Khas

PADA  4 Januari lalu genaplah 22 tahun konflik di Selatan Thailand terjadi dan selepas 13 tahun proses rundingan damai dijalankan tiada apa-apa yang signifikan berlaku  bagi menamatkan krisis yang tercetus bermula dengan kejadian rompakan 413 laras senjata dari kem tentera di Cho Airong, Wilayah Narathiwat pada 2004 itu.

Keganasan masih berterusan di Pattani, Yala, Narathiwat dan sebahagian Songhla. Kalau melihat kepada data-data yang dikumpul oleh  Southern Border Provinces Administrative Centre (Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan Thailand- SBPAC) berkaitan jumlah mangsa  terkorban, cedera dan jumlah pampasan  dikeluarkan oleh pemerintah negara itu, ia jelas membuktikan konflik yang berlaku tidak menguntungkan sesiapa.

Satu demi satu proses rundingan damai yang kini difahamkan sudah memasuki  pusingan kesembilan melibatkan Barisan Revolusi Nasional (BRN) dengan pemerintah Thailand boleh dianggap menemui jalan buntu.

Ia bukanlah soal pemerintah Thailand berkeras atau tidak berkompromi tetapi soal sikap BRN yang kadang kala dilihat tidak begitu ikhlas mahu menamatkan konflik yang berlaku. Pelbagai alasan diberikan dan pelbagai helah dilakukan sehingga setiap kali rundingan, ia pasti tiada hasil yang benar-benar konkrit.

Seorang wanita melihat suami cedera ditembak oleh puak pemisah di Narathiwat pada 24 Januari lalu.

Sepatutnya BRN faham konflik yang berlaku bukannya seperti perlawanan bola sepak hari ini menang, esok kalah tanpa ada apa-apa kesan kepada rakyat tetapi ini adalah konflik yang menyaksikan nyawa manusia menjadi taruhan, ketenteraman awam jadi gadaian dan masa depan penduduk menjadi tidak ketentuan.

Berapa ramai lagi nyawa harus dikorbankan? Berapa banyak lagi harta benda akan dimusnahkan? Dan berapa banyak lagi pampasan yang harus dibayarkan? Kesemua ini tidak mendatangkan apa-apa manfaat kepada wilayah Selatan Thailand dan penduduknya.

Penulis tidak berapa pasti berapa lama lagi pemerintah Thailand atau Malaysia sebagai Fasilitator akan mampu melayan kerenah BRN ketika rundingan damai. Ia kerana setakat ini ia ibarat kerja sia-sia. Suasana di wilayah Selatan Thailand tidak jugak aman.

Sebenarnya jika BRN begitu yakin perjuangan mereka mendapat restu penduduk Islam, kalaulah BRN percaya bahawa pengorbanan mereka dihargai oleh penduduk Islam, maka BRN tidak perlu menggunakan kekerasan atau terus berhelah di meja rundingan bagi mendapatkan kuasa.

Peluang BRN terbuka cerah apabila Thailand dijadualkan mengadakan Pilihan Raya Umum pada 8 Februari ini.  Pilihan raya itu  akan melibatkan pemilihan 500 kerusi Dewan Perwakilan, dengan sekurang-kurangnya 251 kerusi diperlukan untuk membentuk kerajaan majoriti.

Oleh itu daripada BRN membuang masa dan tenaga serta menghuru-harakan Selatan Thailand kononnya untuk perjuangan membela penduduk Islam tetapi hasilnya tiada, lebih baik BRN masuk ke gelanggang pilihan raya.

BRN bertanding secara terhormat, berjuang secara bermaruah dan paling penting meraih kuasa mengikut undang-undang dan Perlembagaan Thailand. Tunjuk kepada penduduk wilayah itu siapa sebenarnya BRN? Apa yang mahu mereka perjuangkan di Parlimen negara itu? Bentangkan dalam manifesto pilihan raya secara sah misi dan visi BRN.

Selain itu, BRN letakkan calon-calonnya sendiri bukan calon proksi apatah lagi calon upahan. Selama ini bermacam-macam BRN minta dan tuntut termasuklah mahu mentadbir sendiri wilayah Selatan Thailand, oleh itu barisankanlah pemimpin-pemimpinnya untuk bertanding. Panggillah mereka yang berada di luar negara untuk kembali ke tanah air  bukan hanya bijak memberi arahan atau perintah dari jauh sahaja.

Penulis percaya penduduk Selatan Thailand pun ingin tahu siapakah pemimpin-pemimpin BRN dan sejauhmanakah kemampuan mereka untuk menjadi pemimpin di wilayah itu.

Justeru jika BRN benar-benar ikhlas berjuang untuk kesejahteraan penduduk wilayah berkenaan, inilah masanya untuk mereka membuktikan keikhlasan tersebut. Penduduk sudah muak, bosan kerana tidak habis-habis hidup mereka terganggu dengan keganasan demi keganasan yang dicetuskan oleh puak pemisah.

Bukan baru mereka menempuh situasi itu tetapi sudah hampir 22 tahun. Sepatutnya kalau betul BRN mahu mencipta kedamaian di negara berkenaan, puak pemisah itu mencari jalan bagi menamatkan konflik yang berlaku tetapi ia tidak terjadi.

Sebaliknya BRN lebih banyak berhelah ketika proses rundingan damai dilaksanakan yang kini sudah memasuki pusingan ke sembilan. Berapa lagi pusingan mahu diadakan? Berapa ramai lagi nyawa insan tidak berdosa harus dikorbankan? Berapa banyak lagi kemusnahan yang mahu dicipta sedangkan wang untuk pemulihan boleh digunakan bagi membangun wilayah itu.

Kesimpulannya tahun 2026 seharusnya membuka lembaran baharu kepada BRN dalam perjuangan mereka dengan mencari jalan damai melalui demokrasi bukannya terus dengan pendekatan lapuk yang sudah terbukti gagal!

Sepatutnya dengan sikap terbuka pemerintah Thailand berunding dengan BRN, puak pemisah itu sepatutnya  bersyukur dan cuba mencari jalan terbaik menamatkan konflik demi masa depan Selatan Thailand dengan memilih jalan demokrasi bukan konfrantasi. Ia memandangkan  sudah pasti dalam apa juga konflik atau perundingan pasti ada hadnya. Jangan sampai langkah itu diambil oleh kerajaan negara tersebut.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img