Oleh Penulis Khas
ISU pembekalan makanan bukan soal untung semata-mata, tetapi menyentuh kebajikan, profesionalisme dan kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) .
Dalam perbahasan mengenai kekuatan ATM, tumpuan lazimnya diberikan kepada aset pertahanan, latihan, persenjataan dan strategi operasi. Namun terdapat satu komponen asas yang sering dianggap remeh sedangkan kesannya sangat mendalam iaitu sistem pembekalan makanan dan sajian kepada anggota tentera.
Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap 26 syarikat yang didakwa memonopoli tender perolehan makanan tentera wajar dilihat sebagai satu isyarat amaran yang serius.
Ia bukan sekadar isu tatakelola atau ketirisan kewangan sebaliknya mencerminkan persoalan lebih besar tentang keberkesanan sistem sokongan asas yang menyentuh terus kebajikan anggota dan kesiapsiagaan operasi negara.
Sejarah ketenteraan dunia telah lama mengingatkan bahawa kekuatan tentera bermula daripada perkara paling asas. Napoleon Bonaparte pernah menyebut, “An army marches on its stomach.”
Hakikat ini kekal relevan hingga hari ini askar yang terlatih, berdisiplin dan bersenjata tetap memerlukan bekalan makanan yang berkualiti, mencukupi dan menepati tuntutan operasi.
Namun, di peringkat pelaksanaan terdapat suara-suara kecil yang jarang kedengaran di ruang awam. Ia bukan jeritan terbuka sebaliknya rungutan perlahan yang berlegar-legar dalam kalangan anggota mengenai kualiti sajian yang tidak konsisten, pembekalan yang adakalanya lewat serta menu yang dirasakan kurang selari dengan realiti tugas sebenar.
Malah timbul persoalan dalam kalangan warga, mengapa sajian yang dihidangkan semasa lawatan atau acara tertentu kelihatan begitu sempurna sedangkan hidangan harian di dapur dan bilik bujang anggota tidak mencerminkan gambaran yang sama. Bisikan-bisikan ini sering terhenti di peringkat bawah tersekat oleh lapisan prosedur, kontrak dan mekanisme pentadbiran.
Lebih membimbangkan ialah implikasi jangka panjang terhadap kepakaran dalaman ATM. Kor Perkhidmatan – Sajian suatu ketika dahulu merupakan aset strategik perkhidmatan. Memasak dalam konteks ketenteraan bukan kerja sambilan tetapi satu kemahiran tinggi yang dibina melalui latihan khusus, kefahaman nutrisi operasi, disiplin serta keupayaan berfungsi dalam keadaan tidak menentu.
Tukang masak tentera bukan sekadar menyediakan makanan. Mereka memahami tuntutan medan anggota yang pulang lewat daripada operasi, pergerakan yang berubah secara mendadak, keperluan tenaga tinggi serta tekanan fizikal dan mental. Mereka bersedia tanpa mengira waktu dan keadaan.
Kepakaran ini bukan sahaja menyokong operasi, melahirkan tenaga profesional bertaraf antarabangsa malah lebih penting adalah menjadikan kerjaya kedua selepas menamatkan perkhidmatan.
Sebaliknya, kebergantungan berlebihan kepada sistem kontrak komersial menimbulkan persoalan tentang kefahaman operasi dan keanjalan sistem. Logik kontrak terikat kepada skop, waktu dan kos, manakala logik ketenteraan menuntut kesediaan tanpa syarat. Jurang inilah yang sering menjadi punca rungutan namun sukar diperbetulkan dalam kerangka perolehan biasa.
Jika dakwaan kartel pembekalan ini benar seperti yang sedang disiasat, implikasinya tidak boleh dipandang ringan. Ia bukan sahaja mencalar integriti perolehan awam tetapi berpotensi menghakis keupayaan teras pertahanan negara secara senyap. Apabila sistem sokongan asas dilemahkan kesannya akhirnya akan dirasai di medan sebenar.
Oleh itu, tindakan terhadap isu ini tidak wajar terhenti pada aspek penguatkuasaan semata-mata. Ia perlu disusuli penilaian semula falsafah perolehan pertahanan termasuk keperluan memperkasa semula kepakaran dalaman ATM. Keselamatan negara tidak boleh diurus sepenuhnya dengan pendekatan kontrak biasa.
Askar tidak menuntut kemewahan. Mereka hanya menuntut satu keadilan asas apabila mereka bersedia mempertahankan negara, negara juga wajib memastikan kebajikan mereka dijaga termasuk daripada perkara paling asas apa yang dihidang di pinggan mereka kerana maruah angkatan tidak seharusnya diukur hanya ketika lawatan dan upacara tetapi tercermin dalam realiti harian yang dirasai oleh setiap anggota di barak dan bilik bujang mereka.


