POLIS mengesahkan menerima satu laporan berhubung dakwaan kejadian seks luar tabii daripada seorang pelakon lelaki berusia 35 tahun.
Ketua Polis Kuala Lumpur, CP Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan pada pukul 6.11 petang.
“Terdapat satu laporan polis diterima dan kes masih dalam siasatan,” katanya ringkas dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan pelakon lelaki tersebut, Alqal Sahar mendedahkan pernah melalui detik silam ketika kanak-kanak apabila menjadi mangsa gangguan seksual.
Alqal yang pernah tampil dalam beberapa drama popular di televisyen antaranya Diari Ramadhan Rafique mendedahkan perkara itu di laman Threads.
Alqar mendakwa pernah diliwat ketika masih kecil oleh individu dalam keluarganya sendiri, malah dikatakan turut mempunyai pengaruh dalam industri seni.


