SEORANG wanita warga emas ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah rumah berkunci di Taman Marisa, Taiping hari ini.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada polis pada 1.42 petang.
“Bomba menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu dan terdapat wanita berusia 83 tahun ditemukan di ruang tamu,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Bernama.
Beliau berkata, operasi melibatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Taiping ditamatkan pada jam 2.25 petang selepas mayat diserahkan kepada polis.


