Kecuaian menutup lubang pembetungan: Di mana tanggungjawab pihak terlibat?

SUDAH dua kes kemalangan maut berlaku tahun ini membabitkan pengguna kenderaan terhumban ke dalam lubang pembetungan yang sedang dalam pembinaan.

Pada 23 Januari lalu, seorang lelaki maut manakala rakannya patah tangan selepas kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki terbabas dan terjunam ke dalam lubang pembetungan sedalam tujuh meter berhampiran Palm City di Jalan Pantai, Lahad Datu, Sabah.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, Muhammad Almadi Hassan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kenderaan itu, Wilyamil Ahajul, 34, patah tangan.

Kenderaan jenis Toyota Vigo dinaiki dua mangsa itu terbabas sendiri dan melanggar penghadang lalu terjatuh ke dalam lubang pembentungan yang dalam proses pembinaan.

Terbaharu, malam tadi, seorang pelajar tingkatan dua maut selepas tercampak ke dalam lubang pembetungan sedalam 10 meter apabila motosikal dinaiki bersama abangnya hilang kawalan dan terbabas di Jalan Bunga Tanjung, Tampin, Negeri Sembilan.

Dalam kejadian pukul 10.10 malam itu, mangsa menaiki sebuah motosikal bersama abangnya yang berusia 17 tahun, dan mereka dalam perjalanan ke rumah kawan di Kuala Ina, Tampin.

Menurut polis, motosikal dinaiki dua beradik itu dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas menyebabkan mangsa tercampak ke dalam lubang sedalam 10 meter.

Kejadian kemalangan akibat lubang pembetungan yang tidak ditutup atau tidak ditanda dengan jelas bukan lagi perkara asing di negara ini. Insiden sebegini sering berlaku di kawasan pembinaan atau penyelenggaraan utiliti awam, namun persoalan utama yang timbul ialah mengapa pihak yang bertanggungjawab gagal menutup lubang pembetungan tersebut sehingga mengundang risiko kepada orang awam?.

Dalam banyak kes, kelalaian ini berpunca daripada sikap sambil lewa kontraktor atau pihak pelaksana yang mengutamakan kelajuan kerja berbanding aspek keselamatan.

Lubang pembetungan yang dibiarkan terbuka tanpa penutup kukuh, penghadang keselamatan, atau papan tanda amaran jelas merupakan satu bentuk kecuaian serius. Lebih membimbangkan, kawasan tersebut selalunya terletak di laluan awam yang digunakan pengguna kenderaan, pejalan kaki, penunggang motosikal dan kanak-kanak.

APABILA BERLAKU KEMALANGAN SEHINGGA MANGSA TERCAMPAK ATAU TERJATUH KE DALAM LUBANG BERKENAAN, IA BUKAN SEKADAR `KEMALANGAN TIDAK DISENGAJAKAN’, SEBALIKNYA MENCERMINKAN KEGAGALAN SISTEM PENGURUSAN KESELAMATAN.

Tanggungjawab tidak seharusnya diletakkan kepada mangsa, sebaliknya perlu diteliti dari sudut pemantauan, penguatkuasaan dan pematuhan prosedur keselamatan oleh pihak berkuasa tempatan serta kontraktor yang dilantik.

Bagi mengelak kejadian seumpama ini berulang, pihak berkuasa perlu memastikan setiap lubang pembetungan di tapak pembinaan ditutup dengan sempurna.

Penggunaan penutup sementara yang kukuh serta penghadang keselamatan dan papan tanda amaran yang jelas amat penting, terutamanya di kawasan laluan awam yang sering digunakan orang ramai.

Selain itu, pemantauan berkala oleh pihak berkuasa tempatan perlu dilakukan secara konsisten dan bukan hanya selepas menerima aduan.

Pemeriksaan yang kerap dapat memastikan kontraktor mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan serta mengelakkan sikap sambil lewa dalam pelaksanaan kerja.

Pada masa yang sama, tindakan tegas perlu diambil terhadap kontraktor atau pihak bertanggungjawab yang cuai dan mengabaikan keselamatan awam.

Hukuman seperti denda atau penalti wajar dikenakan agar menjadi pengajaran dan pencegah kepada pihak lain.

Di samping itu, perancangan keselamatan yang lebih teratur perlu disediakan sebelum kerja dimulakan, termasuk langkah sementara sekiranya kerja tergendala dan lubang pembetungan terpaksa dibiarkan terbuka. Pendekatan ini penting bagi mengurangkan risiko kemalangan yang boleh meragut nyawa.

Keselamatan awam tidak seharusnya dikompromi atas alasan kerja masih dalam pembinaan. Setiap lubang pembetungan yang dibiarkan terbuka tanpa perlindungan adalah satu ancaman nyawa. Justeru, pihak berkuasa dan kontraktor perlu memikul tanggungjawab penuh, bukan sekadar selepas tragedi berlaku, tetapi sebelum nyawa menjadi taruhan.

 

 

 

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img