POLIS sedang menyiasat kes amang seksual fizikal membabitkan kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun yang didakwa dilakukan oleh bekas banduan yang juga seorang guru sekolah di Desa Pandan, Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, polis menerima laporan daripada bapa mangsa berhubung kejadian itu pada 3 Februari lalu.
“Mangsa mendakwa dia mengenali suspek yang merupakan seorang guru di sebuah sekolah di Desa Pandan dan memaklumkan dia diliwat oleh suspek beberapa kali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohamad Lazim, suspek telah ditahan dan hasil semakan mendapati lelaki berkenaan pernah dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan enam sebatan bagi dua kes terdahulu.
Bagaimanapun beliau tidak mendedahkan kesalahan yang pernah disabitkan ke atas suspek sebelum ini.
Tambahnya, kes ini kini disiasat di bawah Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.


