Pekerja makmal didakwa cuba bunuh bekas teman wanita, bakar kereta

SEORANG pekerja makmal perubatan didakwa di Mahkamah Sesyen Kajang hari ini dua pertuduhan cubaan membunuh bekas teman wanitanya dan membakar kereta wanita itu di sebuah rumah di Kajang, minggu lalu.

Tertuduh, S Parthiban, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Khainur Aleeza Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa mencurahkan petrol ke badan bekas teman wanitanya yang berusia 43 tahun dengan mengetahui perbuatan tersebut boleh menyebabkan kematian terhadap wanita itu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa melakukan khianat dengan bahan api iaitu minyak petrol dengan membakar kenderaan milik wanita itu yang didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh yang merupakan duda anak satu di sebuah rumah di Bandar Teknologi Kajang, di Kajang pada jam 3.20 petang, 30 Januari lalu.

Semasa prosiding Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzah Shaharuddin tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan cubaan membunuh merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin.

“Sekiranya mahkamah berhasrat untuk memberikan jaminan, mohon jumlah jaminan yang tinggi kira-kira RM10,000 untuk setiap pertuduhan serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah, tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan selain melaporkan diri sebulan sekali sehingga kes selesai,” katanya.

Mendengar permohonan pendakwaan itu, Parthiban yang tidak diwakili peguam merayu agar diberikan jaminan dikurangkan dengan alasan menanggung seorang anak berusia sembilan tahun hasil perkahwinan sebelum ini.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Khainur Aleeza membenarkan tertuduh diikat jamin RM16,000 untuk kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut mengenakan tambahan seperti yang dimohon pendakwaan dan menetapkan 10 April depan untuk sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki bertindak ganas di sebuah rumah di Bandar Teknologi Kajang membabitkan bekas teman wanitanya berusia 40-an serta ibu mangsa yang berusia 80 tahun.

Dalam kejadian itu, sebuah kenderaan milik mangsa dibakar oleh suspek selain mangsa mengalami kecederaan melecur di beberapa bahagian badan.

Suspek diberkas pada hari sama ketika bersembunyi di sebuah unit pangsapuri di Bandar Saujana Putra dan direman selama empat hari bagi membantu siasatan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img