Terengganu catat sifar kes bunuh, samun senjata api sepanjang 2024 dan 2025

TIADA sebarang kes bunuh dan samun bersenjata api dilaporkan di seluruh Terengganu sepanjang tempoh 2024 dan 2025, membuktikan negeri itu berada pada tahap baik dan terkawal.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata, pencapaian itu juga menunjukkan keberkesanan usaha serta komitmen seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Terengganu dalam mengekang jenayah dan melaksanakan pendekatan kepolisan komuniti di setiap daerah.

DATUK Mohd Khairi Khairuddin

“Pencapaian itu membuktikan Terengganu boleh dikategorikan sebagai sebuah negeri yang selamat,” katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Terengganu di Kuala Terengganu hari ini, lapor Bernama.

Mohd Khairi bagaimanapun berkata, kes rogol dan sumbang mahram mencatatkan peningkatan dengan 94 kes direkodkan pada 2025 berbanding 90 kes pada tahun sebelumnya.

“Kebanyakan mangsa ialah remaja berusia antara 13 hingga 16 tahun serta peningkatan itu dipercayai dipengaruhi pendedahan kepada pornografi serta media sosial termasuk kandungan tidak bermoral dan perkenalan melalui aplikasi sembang yang membawa kepada pertemuan fizikal,” katanya.

Menurut beliau, kes kecurian masih menjadi penyumbang tertinggi jenayah di Terengganu termasuk kecurian kabel dan besi.

Bagaimanapun katanya, jenayah itu menunjukkan penurunan daripada 741 kes pada 2024 kepada 674 kes pada 2025. Kes kecurian dan pecah rumah masih berlaku tetapi dalam keadaan terkawal.

Beliau menambah, cabaran utama kini adalah jenayah komersial yang semakin membimbangkan dan lebih kritikal apabila kes penipuan, khususnya dalam talian yang berlaku hampir setiap hari dan sering melibatkan pesara.

Berdasarkan statistik kes jenayah komersial, beliau berkata, sepanjang 2024 sebanyak 1,335 kes dilaporkan manakala bagi 2025 pula 2,046 kes, iaitu meningkat 53.25 peratus.

Dalam pada itu, Mohd Khairi memberitahu, daripada segi penyelesaian kes, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Terengganu berada pada kedudukan ketujuh daripada 14 kontinjen dengan kadar penyelesaian kes melepasi petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan PDRM.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img