Menyamar polis: Penghantar p-hailing didakwa rogol dan samun wanita

SEORANG penghantar p-hailing berdepan tiga pertuduhan di Mahkamah Sesyen Klang hari ini membabitkan kes samun, rogol dan penyamaran sebagai anggota polis di kawasan parkir Jalan Tapah, dua minggu lalu.

Tertuduh, R Sathiyaseelan, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan berkenaan, lapor Harian Metro.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa merogol seorang wanita berusia 37 tahun yang juga kerani sehingga menyebabkan kecederaan kepada mangsa di kawasan parkir Jalan Tapah di sini, kira-kira jam 2 pagi pada 18 Januari lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 376(2)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 376(2) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan

Dalam pada itu, Sathiyaseelan bersama seorang rakannya M Balaraj, 34, didakwa bersama-sama melakukan samun berkumpulan iaitu telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM110 terhadap mangsa sama di lokasi, pada masa serta tarikh yang sama.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Suhaili Abu Bakar yang mengendalikan kes tidak menawarkan sebarang jaminan, namun sekiranya mahkamah membenarkan jaminan mesti disertakan dengan syarat tambahan iaitu lapor diri di balai polis setiap bulan dan tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, peguam Nathiya Kamalanathan yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon supaya membenarkan ikat jamin paling rendah kerana dua anak guamnya itu adalah anak bongsu daripada tiga beradik dan menjadi penanggung tunggal kepada ibu masing-masing yang menghidap penyakit diabetes serta darah tinggi.

Hakim Sharifah Hascindie Syed Omar kemudian membenarkan Sathiyaseelan diikat jamin keseluruhan RM17,000 manakala Balaraj (RM7,000) dan membenarkan syarat tambahan seperti yang dinyatakan pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 5 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Di Mahkamah Majistret, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyamar sebagai penjawat awam iaitu anggota polis untuk melakukan perbuatan seolah-olah menjalankan tugas rasmi di lokasi sama, pada masa dan tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nadia Syuhada Rosli.

Majistret A Karthiyayini membenarkan mereka diikat jamin masing-masing RM3,000 dengan seorang penjamin dan turut menetapkan sebutan semula kes pada 5 Mac depan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img