SEORANG bekas pengawal peribadi dihadapkan ke mahkamah Sungai Petani hari ini atas berapa pertuduhan termasuk menyamar polis, samun dan mencabul seorang wanita, bulan lalu.
Tertuduh, Mohd Faizal Sinorcho, 40, didakwa di Mahkamah Sesyen dan dua Mahkamah Majistret.
Di Mahkamah Sesyen, Faizal dituduh di hadapan Hakim Najwa Che Mat atas dakwaan menyamun sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki serta menyebabkan kecederaan terhadap mangsa.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 12.45 tengah malam di hadapan premis Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Jalan Cindai, Bandar Puteri Jaya, di Sungai Petani pada 9 Februari lalu.
Faizal dituduh mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan.
Tertuduh mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman penjara enam tahun serta dua sebatan.
Di Mahkamah Majistret 2, dia juga mengaku bersalah menyamar polis dengan memakai ves berlogo pasukan keselamatan itu serta memegang gari di hadapan seorang wanita di pintu masuk pasar raya C-Mart Cengal, di Sungai Petani pada jam dan tarikh yang sama.
Bagi kesalahan itu, Faizal didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Majistret Mohamad Azlan Basri menjatuhkan hukuman penjara lima bulan terhadap tertuduh, manakala di Mahkamah Majistret 3 pula, dia didakwa sekali lagi dengan jenayah sama sebelum memperdaya seorang wanita.
Kesalahan didakwa dilakukan dalam kereta Perodua Viva dalam perjalanan dari Gerik, Perak ke Sungai Petani antara jam 5.50 petang hingga 11.30 malam pada 8 Februari.
Bagi kesalahan itu, Faizal didakwa mengikut Seksyen 171 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda tidak melebihi RM400 atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh turut mengaku bersalah sebelum Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi menjatuhkan hukuman penjara dua bulan.
Di mahkamah sama, Faizal juga mengaku bersalah mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan menggunakan kekerasan jenayah terhadap wanita sama dengan niat mencabul kehormatan mangsa pada masa, tempat dan tarikh sama.
Seksyen 354 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu. Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 24 bulan terhadap tertuduh.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwah Raya, J Banusha, Adlin Sufiya Kamaruzzaman dan Nur Hazwani Md Noor, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


