DUA bersaudara maut termasuk seorang daripada mereka putus kaki selepas motosikal dinaiki bertembung dengan sebuah kereta yang terbabas di Kilometer 6, Jalan Kluang-Teck Wah Hing, Kluang awal pagi tadi.
Nahas berlaku kira-kira jam 1 pagi mengakibatkan penunggang Yamaha Y15ZR iaitu lelaki berusia 54 tahun dan pembonceng 36 tahun cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, siasatan mendapati kedua-dua mangsa adalah bersaudara dan ketika kejadian mereka dalam perjalanan dari Kluang ke Taman Kluang Barat.
Menurut beliau, sebaik tiba di lokasi, kereta jenis Proton Saga dipandu seorang wanita berusia 46 tahun dari arah bertentangan tiba-tiba hilang kawalan lalu memasuki laluan motosikal dan bertembung.
“Akibat pertembungan itu, penunggang motosikal cedera parah di kepala dan putus kaki kiri di bahagian betis. Pembonceng pula cedera di kepala dan badan. Kedua-dua mangsa bagaimanapun meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pemandu kereta wanita itu hanya mengalami cedera ringan di kaki kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bahrin berkata, susulan nahas itu, pemandu wanita terbabit ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dan ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati negatif bahan terlarang.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Pada masa sama, suspek akan direman bagi membantu siasatan.
“Orang ramai mempunyai maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau hubungi IPD Kluang di talian 07-778 4222 (hotline) atau 07-778 4256 dan bilik gerakan di 014-365 6822,” katanya.


