Maritim tahan dua lelaki guna bom ikan di perairan Kunak

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan dua lelaki Palauh yang melakukan kegiatan bom ikan di perairan kira-kira 1 batu nautika timur laut Kunak di Lahad Datu, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 pagi itu, dua lelaki masing-masing berusia 18 dan 23 tahun ditahan ketika pasukan Zon Maritim Lahad Datu melakukan rondaan Op Pluto Timur 2/2023, Op Tiris 3.0 dan Op Khas Pagar Laut 1/2026 di kawasan tersebut.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, hasil rondaan berjaya mengesan sebuah bot pam yang dilihat dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat dua individu sedang melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan di perairan tersebut. Kedua-dua mereka juga gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri.

“Pemeriksaan lanjut turut menemui sebanyak 15 kilogram ikan disyaki ditangkap hasil daripada kegiatan bom ikan serta objek digunakan untuk melakukan aktiviti tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, susulan daripada tangkapan itu, pihaknya bertindak membawa bot pam tersebut ke Jeti Zon Maritim Lahad Datu untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Dua lelaki terbabit turut ditahan dan kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya.

Dalam pada itu, Dzulfikhar turut menegaskan bahawa aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan atau bom ikan merupakan kesalahan serius.

“Ini kerana ia bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh memusnahkan habitat marin termasuk terumbu karang dan menjejaskan sumber perikanan negara.

“Sehubungan itu, Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti bom ikan di perairan negara,” tegasnya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img