JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) mengesan sebuah premis gudang terpencil menjalankan kerja pembungkusan barangan dari China dengan dipercayai menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan Telok Panglima Garang, Selangor.
Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, seramai 24 PATI ditahan dan operasi dijalankan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas itu bermula kira-kira pukul 10.55 pagi semalam.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada dua lelaki warga China, sembilan lelaki warga Bangladesh, dua lelaki warga India, dua lelaki dan lapan wanita warga Myanmar serta seorang wanita warga Kemboja.
“Hasil semakan mendapati dua warga China menyalahgunakan pas yang dimiliki, dua warga Bangladesh tinggal lebih masa manakala selebihnya tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam operasi itu, pihaknya turut menyita beberapa pasport milik warga asing terbabit serta sebuah kenderaan jenis Mercedes Benz yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut .
Beliau berkata, premis gudang berkenaan dipercayai menjalankan aktiviti pemprosesan dan pembungkusan barangan dari China untuk penghantaran kepada pelanggan melalui platform aplikasi dalam talian.
“Bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, aktiviti itu dilakukan di kawasan terpencil di tengah ladang kelapa sawit serta tidak mempunyai papan tanda perniagaan.
“Kegiatan tersebut dipercayai telah beroperasi selama enam bulan dan seorang warga China ditahan turut dipercayai menggajikan warga asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan atau pas lawatan kerja yang sah untuk bekerja di negara ini,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.
“Semua suspek dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut. Selain itu, tiga warga tempatan diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” katanya.


