SEBUAH rangkaian pusat kecantikan dan spa yang menggunakan lesen perniagaan sah sebagai helah untuk menjalankan kegiatan haram terbongkar selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 19 wanita warga asing dalam serbuan di empat lokasi sekitar ibu negara dan Puchong, Selangor, kelmarin.
Serbuan yang dijalankan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM bermula pukul 2.44 petang itu hasil risikan selama dua minggu ke atas premis yang disyaki menjalankan kegiatan tidak bermoral.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya menahan 12 wanita warga Filipina, enam warga Vietnam dan seorang warga Mongolia berusia antara 22 hingga 48 tahun yang dipercayai bekerja di premis berkenaan.
“Hasil semakan awal mendapati tiga wanita Vietnam memiliki Pas Lawatan Sosial, seorang warga Mongolia mempunyai Pas Pelajar manakala 12 wanita Filipina memiliki Pas Pembantu Rumah.
“Warga asing yang lain tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pasukan operasi turut menyita sembilan pasport Filipina, tiga pasport Vietnam, satu pasport Mongolia, lima telefon bimbit, pengimbas bayaran QR, buku rekod pekerja dan urus niaga, lesen perniagaan, dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta wang tunai RM1,500.
Menurut Zakaria, premis terbabit menggunakan lesen sah sebagai pusat kecantikan atau spa bagi mengaburi pihak berkuasa, namun menawarkan perkhidmatan tambahan secara sulit.
“Kegiatan ini dipromosikan melalui aplikasi Telegram dan WhatsApp kepada pelanggan terpilih sahaja.
“Pelanggan akan ditawarkan urutan biasa dan kod rahsia digunakan untuk mendapatkan perkhidmatan tambahan,” katanya.
Beliau berkata, ruang dalaman premis turut diubah suai serta dilengkapi sistem keselamatan ketat dengan bayaran antara RM180 hingga RM250 bagi setiap perkhidmatan dan dipercayai beroperasi sejak Mac tahun lalu.
Katanya, kesemua warga asing terbabit disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut, manakala tujuh lelaki tempatan diberikan notis hadir bagi membantu siasatan.


