Ecxo Armada kecewa perhimpunan Bersatu hanya jadi pentas membodek

SEORANG Exco Armada Bersatu, Meor Naquiddin Shamsudin kecewa dengan perjalanan Perhimpunan Agung Bersatu pada Ahad lalu yang dianggap beliau menjadi pentas membodek.

Melalui catatan dalam Facebook beliau melontarkan persoalan adakah dengan menamakan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri Ke-11,”kita dapat mengembalikan semula sokongan rakyat kepada kita dalam keadaan kita dilihat tidak bijak, tidak stabil dan tidak serius?”

Berikut catatan penuh beliau:

Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU 2025 telah melabuhkan tirainya Ahad, 7 September lalu. Namun, sehari dua ni kehangatannya perhimpunan belum redha. Peristiwa perbalahan kecil ketika Perasmian Perhimpunan pada Sabtu, 6 September dan kisah SD jadi sebutan.

Saya jarang sekali bernukilan berkenaan perihal parti secara umum. Kali terakhir kenyataan saya berkenaan parti keluar di media sosial ketika persengketaan saya dengan ketua saya, YB Hilman Idham pasca pemilihan parti. Namun, perkara itu sudah berlalu dan kami putuskan untuk berlapang dada dan cari titik persamaan.

Tetapi, hari ini hati saya membuak-buak ingin menyampaikan isi hati dan pandangan peribadi saya berkenaan PAT kali ini. Satu sahaja perkataan yang dapat menggambarkan isi hati saya – KECEWA. Nukilan kali ini, saya tak mahu ulas tentang peristiwa perbalahan yang terjadi, mahupun cerita SD, mahupun cerita Si Kitol atau Si Kontol. Saya nak bercerita tentang kesimpulan PAT yang mengecewakan.

Pada penghujung PAT baru-baru ini, sebelum sempat kerusi persidangan sejuk dek kehangatan punggung perwakilan, YB DS Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung telah mengeluarkan satu kenyataan media BERSATU dengan sorotan utamanya berkisah usul yang dipersetujui berkenaan kedudukan YB Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden BERSATU dan Calon Perdana Menteri ke-

Jujur kata, saya tidak ada sedikit pun masalah dengan usul tersebut. Tetapi ia adalah sesuatu yang begitu mengecewakan, menyedihkan dan melucukan. Kerana apa? Kerana pentas PAT yang sepatutnya mengangkat aspirasi, dasar dan sasaran parti bagi dijadikan penilaian oleh rakyat telah bertukar menjadi pentas bagi membodek.

Sudah 3 kali berturut-turut pentas PAT BERSATU dijadikan pentas sandiwara drama yang sehingga kini tidak berkesudahan. PAT 2023, usul utamanya meminta agar YB Tan Sri Presiden menarik balik hasrat tidak mempertahankan jawatan dan terus menjadi Presiden. PAT 2024 pula, usul utamanya meminta YB Tan Sri Presiden kekal sebagai Presiden sehingga PRU16 dan diangkat tarafnya dari Presiden ke Presiden Pengasas (walaupun tiada dalam Perlembagaan BERSATU). PAT 2025 kali ini, kita masih lagi membawa usul menyokong penuh kepimpinan YB Tan Sri Presiden serta mencalonkan beliau sebagai Perdana Menteri ke-11.

Sepanjang 3 PAT ini, kisahnya semua sama tetapi dengan drama berbeza. Apa sudah jadi dengan peranan BERSATU kepada rakyat? Tidak pentingkah perihal mereka di mata kita? Punya banyak pembahas yang bercerita tentang hal berkaitan hati nurani rakyat, dari masalah berkaitan ekonomi, kehidupan sosial, tekanan akibat kenaikan kos sara hidup dan bermacam lagi, akhirnya tenggelam dek kerana satu usul yang penuh drama.

Hal ini bukan sesuatu yang baik. Bagaimana rakyat ingin menilai kita jika satu-satunya usul yang menjadi sorotan utama adalah berulang kali berkenaan kuasa. Rakyat akan terus menilai BERSATU sebagai parti yang sedikit pun tidak cakna tentang mereka.

Tiba-tiba, pada 9 September, keluar satu hantaran media sosial parti berkenaan intipati ucapan YB Tan Sri Presiden menyentuh dasar Wawasan Kemakmuran Bersama sebagai asas kepada hala tuju BERSATU. Itu pun disulam dengan satu poster ringkas yang ala kadar.

Sepatutnya pentas PAT tempohari mengangkat dasar Wawasan Kemakmuran Bersama sebagai komponen utama bagi dibicara sehingga ia diangkat menjadi usul yang dipersetujui semua dan menjadi sorotan utama. Barulah rakyat boleh menilai secara objektif terhadap kebolehan BERSATU untuk memimpin negara dan menawan Putrajaya.

Alangkah seronoknya saya rasa jika pagi 8 September baru-baru ini, terpampang di dada akbar dan portal berita perdana dengan berita, ‘BERSATU Sebulat Suara Mengangkat Wawasan Kemakmuran Bersama sebagai Dasar Utama Kearah Merampas Putrajaya’. Rakyat juga akan turut merasakan perkara ini sesuatu yang menarik.

Tetapi tidak. Kita tetap bernostalgia. Wawasan Kemakmuran Bersama dalam ucapan dasar YB Tan Sri Presiden hanya dijadikan sorotan poster dengan kurang 300 likes.

Jadi, apa yang nak dibanggakan dengan PAT kali ini? Adakah para perwakilan akan pulang ke kawasan masing-masing dengan semangat dan pemikiran yang lebih tuntas dan segar tentang apa yang ingin dibawakan oleh BERSATU? Apakah dengan usul yang kononnya dipersetujui sebulat suara ini, kita akan memenangi pilihanraya yang didakwa akan tiba pada penghujung tahun 2026 oleh YB DS Setiausaha Agung?

Persoalan saya adalah, adakah dengan hanya membawa berita kepada rakyat bahawa YB Tan Sri Muhyiddin Yassin ataupun jenama Abah akan menjadi Perdana Menteri ke-11 akan memenangkan kita pada PRU16?

Jika ya, mengapakah keputusan Pilihanraya Negeri Melaka pada penghujung 2021 dan Pilihanraya Negeri Johor pada awal 2022 tidak membuahkan hasil yang cemerlang dengan penggunaan jenama Abah?

Tak dinafikan jenama Abah melalui imej YB Tan Sri Muhyiddin Yassin yang prihatin, disayangi dan bersih memainkan peranan bagi memenangkan Perikatan Nasional pada PRU15. Tetapi, faktor yang lebih besar membuatkan rakyat memilih Perikatan Nasional pada ketika itu adalah imej baik, kurang kontroversi, tawaran yang menarik, gelombang kebangkitan rakyat serta gerak kerja yang berstruktur. Itulah punca kemenangan besar Perikatan Nasional ketika.

Jadi saya ingin bertanya sekali lagi. Adakah dengan usul yang ada ini, kita dapat mengembalikan semula sokongan rakyat kepada kita dalam keadaan kita dilihat tidak bijak, tidak stabil dan tidak serius? Tepuk dada, tanya diri.

Saya fikir, kita perlu berhenti bernostalgia dan kembalikan tumpuan kita. Hentikan sengketa ini segera. Bak kata orang Parit, “Don’t let people see us as jokes and goons.”



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img