SEORANG lelaki warga Myanmar maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 34 Jalan Sungai Rengit – Kota Tinggi, pukul 9.15 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kemalangan melibatkan sebuah motosikal Yamaha LC135 ditunggang mangsa dengan sebuah kereta jenis Ford.
“Pemandu kereta Ford berwarna hitam merupakan lelaki warga Indonesia berusia 48 tahun, manakala mangsa berumur 31 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah pada bahagian badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Pemandu Ford mengalami kecederaan ringan,” katanya dan menambah mayat telah dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan bedah siasat.
Kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


