JPJ keluarkan 482,742 saman terhadap pemandu warga asing sejak 2023

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan sebanyak 482,742 saman bernilai RM25.3 juta terhadap pemandu warga asing yang melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas sejak 2023 hingga tahun lalu.

Pengarah Penguat Kuasa (JPJ), Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, berdasarkan rekod saman yang dikeluarkan, etnik Rohingya, warga Bangladesh, Indonesia, Timur Tengah, India dan China antara paling tinggi dikenakan tindakan saman.

“Dalam tempoh sama, seramai 462,835 warga asing dikenakan tindakan saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JPJ Kuala Lumpur di ibu negara hari ini, lapor Sinar Harian.

Menurut Muhammad Kifli, jumlah saman itu membuktikan keperluan tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas, menyeluruh dan tidak selektif.

“Kita komited melaksanakan Ops Pemandu Warga Asing (Pewa) sebagai langkah berterusan memperkukuh pematuhan undang-undang serta memastikan tahap keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara.

“Berdasarkan rekod tahun 2023 hingga 2025, JPJ telah mengambil tindakan sitaan ke atas 15,789 kenderaan yang dipandu oleh warga asing,” katanya.

Muhammad Kifli turut menegaskan bahawa mana-mana pemandu warga asing yang melanggar peraturan undang-undang jalan raya akan dikenakan tindakan penguatkuasaan tanpa pengecualian, termasuk sitaan kenderaan, pengeluaran saman dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Kita juga memberi amaran keras kepada majikan dan pemilik kenderaan supaya tidak membenarkan pemandu warga asing memandu tanpa kelayakan serta dokumen sah.

“Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan tindakan tegas turut diambil terhadap pihak terlibat,” katanya.

Beliau berkata, JPJ tidak akan berkompromi dalam usaha memastikan undang-undang jalan raya dipatuhi sepenuhnya.

“Ops Pewa akan terus diperkasakan melalui kerjasama strategik bersama agensi penguatkuasaan lain bagi memastikan keselamatan jalan raya negara tidak digadai dan tidak dipertaruhkan oleh mana-mana pihak,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img