JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) membongkar kegiatan menyewa kenderaan, khususnya motosikal kepada warga asing pada kadar RM100 hingga RM200 sebulan, sekali gus menjadi antara punca utama isu pemandu tanpa lesen terus berlarutan.
Pengarah Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, walaupun pelbagai tindakan penguatkuasaan telah dilaksanakan, masalah itu masih berterusan disebabkan tindakan segelintir rakyat tempatan yang menyewakan kenderaan milik mereka kepada warga asing.
“Berdasarkan siasatan yang kita lakukan, perkara ini berterusan kerana terdapat segelintir rakyat Malaysia yang bekerjasama dengan pemandu warga asing.
“Mereka menyewa kenderaan milik rakyat Malaysia untuk digunakan di jalan raya. Kerjasama ini menyebabkan masalah ini terus berlaku,” katanya dalam sidang media Ops Pemandu Warga Asing (Ops Pewa) di Pejabat JPJ Kuala Lumpur di ibu negara hari ini, lapor Sinar Harian.
Yang turut hadir, Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam.
Muhammad Kifli berkata, JPJ akan mengambil tindakan terhadap dua pihak iaitu pemandu warga asing terbabit serta pemilik kenderaan yang terdiri daripada rakyat Malaysia.
“JPJ ingin memberi peringatan yang sangat tegas kepada semua rakyat Malaysia supaya jangan bekerjasama dan jangan memberi sewa kenderaan mereka kepada warga asing,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kebanyakan pemandu warga asing yang ditahan didapati tidak memiliki lesen memandu, selain kenderaan yang digunakan tidak mempunyai cukai jalan serta perlindungan insurans.
Dalam operasi selama dua hari bermula semalam di sekitar Kuala Lumpur, JPJ memeriksa sebanyak 566 kenderaan dan mengambil tindakan terhadap 61 kenderaan.
“Ia membabitkan 57 motosikal dan empat kereta yang digunakan sebagai pengangkutan persendirian oleh warga asing.
“Selain itu, 25 pemandu warga asing turut diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut,” katanya.


