MAJLIS Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengarahkan pemberhentian kerja sementara di tapak pembinaan di Hospital Pulau Pinang (HPP) susulan insiden lori pembancuh simen jatuh dari tebing yang menyebabkan pemandunya maut akibat tersepit, kelmarin.
Notis tersebut dikeluarkan Jabatan Kawalan Bangunan selepas lawatan dilakukan Datuk Bandar MBPP, Datuk A Rajendran semalam.

MBPP dalam kenyataan malam tadi berkata, notis dikeluarkan mengikut Seksyen 70(9) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 berkuat kuasa semalam sehingga laporan dan siasatan selesai.
Lokasi kemalangan adalah tapak pembinaan bagi Klinik Pakar dan Wad HPP.
Media kelmarin melaporkan, seorang pemandu lori simen maut akibat tersepit apabila kenderaan berat dipandunya itu terbalik di tapak pembinaan berhampiran HPP di Jalan Residensi di Georgetown.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, A’azelan Hassan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, lori terbabit dikatakan dalam keadaan mengundur sebelum terjunam dari tebing setinggi hampir lima meter.
Mangsa adalah warga Indonesia dan didakwa pemandu gantian pada hari berkenaan.


