AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan menahan sebuah kapal tangki membawa muatan kira-kira 50 tan metrik minyak diesel tanpa dokumen sah bernilai hampir RM180,000 di perairan Melaka, semalam.
Pengarahnya, Kepten Maritim Salehuddin Zakaria berkata, kapal itu ditahan kira-kira jam 3.45 petang oleh bot ronda yang melaksanakan Ops MURNI dan Ops TIRIS 3.0 kira-kira 1 batu nautika di barat daya Pulau Melaka.
“Kapal itu dikendalikan lima kru warga Indonesia berusia antara 21 hingga 62 tahun. Pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda gagal mengemukakan invois pembelian dan mengisytiharkan kargo dalam dokumen Pelepasan Pelabuhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Salehuddin, tindakan penahanan telah dilakukan dan kes ini disiasat di bawah Akta Kastam 1967 serta Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan tanpa permit sah selain gagal mematuhi peraturan pengisytiharan kargo.
Beliau berkata, Maritim Malaysia akan terus mempergiat pemantauan di perairan negara bagi mengekang aktiviti penyelewengan dan penyeludupan bahan api yang boleh menjejaskan ekonomi serta kesejahteraan negara.


