AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis menyelamatkan empat remaja lelaki selepas bot mencandat sotong yang mereka naiki terbalik di perairan Pulau Rebak dekat Langkawi, awal pagi ini.
Pengarah Maritim Malaysia Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira jam 5.05 pagi.

“Sebaik sahaja menerima panggilan, Bot Penggalang 11 telah digerakkan ke lokasi dan operasi mencari dan menyelamat empat lelaki tempatan yang kesemuanya berusia 18 tahun itu dijalankan.
“Kesemua mangsa berjaya ditemukan pada jam 6.10 pagi dalam keadaan selamat selepas mereka berpaut pada pelampung sementara menunggu bantuan tiba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Romli berkata, kesemua mereka kemudian dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Bukit Malut dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk pemeriksaan lanjut sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi.
Tambahnya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.30 pagi setelah semua mangsa berjaya diselamatkan.
Dalam pada itu, Maritim Malaysia menasihatkan orang ramai khususnya komuniti maritim dan pengusaha bot supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika berada di laut seperti memakai jaket keselamatan, memantau keadaan cuaca serta memastikan bot berada dalam keadaan baik sebelum beroperasi.


