CUBAAN menyeludup masuk dan membawa keluar pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui perairan Selangor berjaya digagalkan apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan dua bot dalam satu operasi khas awal pagi, semalam.
Pengarah Maritim Malaysia Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, tangkapan dilakukan hasil maklumat risikan terhadap aktiviti penyeludupan manusia di sekitar perairan Bagan Nahkoda Omar.
Menurut beliau, tangkapan pertama melibatkan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran yang ditahan pada pukul 12.30 tengah malam kira-kira 1.5 batu nautika barat daya Bagan Nahkoda Omar.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan seorang tekong warga Myanmar berusia 36 tahun dengan membawa seramai 26 PATI warga Indonesia terdiri daripada 17 lelaki termasuk seorang kanak-kanak serta sembilan wanita berumur antara lima hingga 53 tahun,” katanya.
Beliau berkata, dua lelaki tempatan berusia 46 dan 49 tahun turut berada di atas bot berkenaan dan dipercayai keluar serta masuk semula ke negara ini melalui laluan tidak sah.
Sementara itu, tangkapan kedua dibuat kira-kira jam 2.00 pagi melibatkan sebuah bot pom-pom pada jarak sekitar dua batu nautika dari kawasan sama.
“Bot tersebut dikendalikan seorang tekong bersama dua awak-awak warga Indonesia berusia antara 22 hingga 32 tahun.
“Pemeriksaan lanjut menemukan 24 PATI terdiri daripada 19 lelaki dan lima wanita berumur antara 22 hingga 64 tahun serta seorang bayi perempuan berusia tiga bulan,” katanya.
Abdul Muhaimin berkata, kesemua PATI yang ditahan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1953/63 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM 2007)
Kesemua individu bersama bot yang dirampas diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM), Pulau Indah untuk tindakan lanjut
Dalam pada itu, beliau menegaskan Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam jenayah rentas sempadan dan akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan di perairan negara.


