TUN Dr Mahathir Mohamad hari ini secara sinis meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan harta milik beliau di United Kingdom (UK).
Katanya, beliau tidak tahu mempunyai aset di United Kingdom yang kini dalam radar siasatan SPRM.
‘’ Saya kagum membaca kenyataan Tan Sri Azam Baki, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bahawa ia akan siasat harta saya di United Kingdom Rupa-rupanya saya ada harta di UK. Saya tak tahu.
‘’Tolong bagi tahu kepada saya supaya saya dapat ‘claim’ harta ini, setelah dapat saya akan hadiah kepada ramai yang miskin,” katanya di aplikasi X.
Semalam, Azam berkata siasatan terhadap Mahathir masih berjalan dengan tumpuan kini diberikan kepada aset dipercayai dimilikinya di UK.
Katanya, SPRM kini dalam proses mendapatkan maklumat terperinci daripada pihak berkuasa UK berhubung perkara itu.
Pada April 2024, Azam dilaporkan berkata bekas perdana menteri itu antara individu disiasat berhubung isu pengisytiharan harta. Susulan penyiasatan itu, kedua-dua anaknya diberi notis untuk mengisytiharkan harta dalam tempoh dinyatakan bawah Seksyen 36 Akta SPRM 2009.
Pada 21 Jan lalu, dilaporkan menurut pengisytiharan harta dikemukakan kepada SPRM, Mokhzani memiliki aset bernilai kira-kira RM1 bilion, manakala Mirzan sebanyak RM246.2 juta.
Dr.Mahathir berkata, beliau fikir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar yang menyuruh SPRM untuk melambatkan kes.
‘’Apabila saya saman dia, dia minta dua minggu untuk jawab saman saya. Sekarang sudah dua tahun. Masih tidak sanggup ke mahkamah. Masih hendak tangguh. Konon saya ada harta di UK. Siasatan akan ambil masa. Tangguh lagi,’’ kata Dr.Mahathir.


