SEORANG guru dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Johor Bahru hari ini atas tuduhan mencabul kehormatan seorang penumpang wanita warga Vietnam dalam kenderaan e-hailing dipandunya, awal bulan ini.
Alvin Choo Chee Hong, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret A Shaarmini.
Penjawat awam itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita warga asing dengan niat mencabul kehormatan dengan cara memegang tiga anggota badan mangsa.
Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam kereta Perodua Bezza antara jam 5.30 petang hingga 6 petang pada 1 Februari lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dan menetapkan 13 Mac depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
Media sebelum ini melaporkan polis mengenal pasti pemandu e-hailing terbabit susulan penularan video kejadian dalam media sosial.


