‘’Kita kena tunjuk budaya politik baharu yang bersih, jujur, ikhlas dan kerja kuat. Kita kena tunjuk kepada rakyat bahawa kita tidak ‘lapaq’ projek, tidak hanya jual muka,”- Ketua Pengarah Plihanraya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
“Fokus kita tumbangkan PH-BN dulu. Lepas itu baru buat tawaran siapa yang patut jadi Perdana Menteri. Jangan sampai orang tengok kita tamak… kaki tak sampai tanah, kepala tak timbul.’’
Demikian ditegaskan oleh Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Muhammad Sanus Md Nor ketika mengingatkan ahli dan kepimpinan parti supaya mengelak daripada berebut jawatan, amalan cantas-mencantas serta budaya politik dalaman yang boleh memecahbelahkan kekuatan parti sendiri.
“Jangan berebut-rebut jawatan, jangan cantas-mencantas sesama sendiri, jangan ada kem sana kem sini. Ini semua akan melemahkan kita dari dalam sebelum pun bertempur dengan lawan sebenar,” katanya lapor Berita Harian.
Beliau mengulas keputusan Perhimpunan Agung Bersatu Ahad lalu yang menamakan Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri Bersatu.
Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, PN perlu tampil dengan tawaran yang logik, realistik dan boleh diterima oleh rakyat serta membentuk budaya politik baharu yang lebih matang dan berfokus kepada kepentingan rakyat.
“Bukan hanya untuk kelompok tertentu tapi budaya politik baharu yang bersih, jujur, ikhlas dan kerja kuat. Kita kena tunjuk kepada rakyat bahawa kita tidak lapaq (mahukan) projek, tidak hanya jual muka,” katanya.
Sehubungan itu beliau menegaskan, menamakan calon Perdana Menteri sebagai satu-satunya modal politik tidak mencukupi untuk menumbangkan lawan pada pilihan raya akan datang.
Beliau berkata, strategi gabungan PN perlu lebih menyeluruh dengan memberi tumpuan kepada aspek pengukuhan jentera.
“Kalau pakai modal ada calon Perdana Menteri sahaja tak mampu nak tumbangkan Pakatan Harapan , Barisan Nasional . Kena ada modal lain,” katanya.
Sanusi berkata, jentera pilihan raya perlu diperkemaskan agar sesuai dengan kehendak semasa termasuk pendekatan yang lebih segar, moden dan dekat dengan rakyat, terutama golongan muda dan pengundi atas pagar.
“Perlu ada machinery (jentera) yang sesuai dengan kehendak semasa, ada kemahiran pilihan raya, jauhkan politik kuno yang membosankan pengundi,” katanya.


