ISU kemasukan pelajar ke universiti awam (UA) melalui saluran UPU memerlukan penyelesaian jangka panjang agar ia tidak dimanipulasi sehingga menjadi isu perkauman.
Sehubungan itu Presiden Jalinan Sahabat Nusantara (JASANUSA) Samsudin Awang berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) perlu menyediakan lebih banyak tempat kepada Gen-Z untuk melanjutkan pelajaran ke UA kerana kuota yang ada ketika ini tidak relevan lagi.

‘’Berdasarkan statistik yang diumumkan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi, KPT Selasa lalu, sebagai contoh, UPM menerima 4,154 permohonan daripada pemohon yang layak bagi merebut 100 tempat di universiti tersebut.
‘’Manakala secara puratanya bagi keseluruhan UA adalah anggaran 2,800 pemohon layak bagi merebut 147 tempat iaitu pada kadar ‘keberangkalian berjaya dapat’ adalah 0.05 peratus,’’ katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, ramai ibu bapa yang terkejut dengan angka-angka itu kerana 0.05 peratus menampakkan peluang untuk anak mereka memasuki UA sangat tipis walaupun layak dari segi akademik dan melepasi kelayakan merit yang ditetapkan untuk sesuatu kursus dan UA.
‘’Ketika negara kita hanya mencatatkan kadar 25% sahaja lepasan SPM yang menyambung pelajaran, sewajarnya kumpulan Gen-Z yang 25% ini disokong dan diperluaskan peluang untuk mereka melanjutkan pelajaran ke UA.
‘’Tidak mungkin dengan kadar 25% itu, negara kita pada masa depan mampu memiliki jumlah tenaga kerja yang cukup untuk menjadi pemimpin negara, pekerja profesional di sektor kritikal mahupun sebagai penjawat awam dan pemikir ,’’ katanya.
Menurut Samsudin, kadar peluang hanya 0.05 peratus pastinya turut memusnahkan motivasi Gen-z untuk menyambung pelajaran.
‘’Ia mendorong mereka menyertai ekonomi gig seperti yang sedang berlaku ketika ini sedangkan kerajaan sangat tidak menggalakkan rakyat menyertai sektor pekerjaan tidak formal.,’’ katanya.
Oleh itu, katanya, KPT wajar menyediakan lebih banyak tempat di UA sama ada dengan kaedah pembelajaran baharu untuk pertambahan pelajar atau membina infrastruktur UA yang baharu agar Gen-Z yang layak memasuki UA tidak dinafikan hak mereka.
‘’Sesungguhnya pelaburan sesebuah negara untuk pembangunan modal insan adalah tidak merugikan sepertimana yang termaktub dalam ASEAN Community Vision 2025 (Sustainable Development Goals).
‘’Sewajarnya kita mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di Nepal apabila Gen-Z bangkit menuntut hak-hak mereka yang mereka dakwa tidak dipenuhi oleh kerajaan,’’ katanya.


