Pengarah mengaku tidak bersalah, salah guna harta syarikat RM465,500

SEORANG pengarah syarikat logistik dan pengangkutan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini, atas lima pertuduhan salah guna harta sebuah syarikat berjumlah RM465,500, lima hingga enam tahun lalu.

Tertuduh, Sahela Abdul Rahim, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Mohd Zamir Suhaimee, lapor Harian Metro.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Sahela didakwa dengan curangnya menyebabkan Shekeen Abdul Rahim, 39, melupuskan harta milik Suria Motor (M) Sdn Bhd dengan menandatangani tiga keping cek Ambank Islamic.

Cek berkenaan masing-masing bernombor 047793 dan 047757 berjumlah RM80,000 setiap satu serta cek bernombor 051896 berjumlah RM75,000, yang juga wang hasil pembayaran penjualan permit import kenderaan atas nama tertuduh itu.

Perbuatan didakwa dilakukan di pejabat syarikat terbabit di Jalan Serampang, Taman Sri Tebrau, di sini, pada 24 Ogos 2020, 13 Oktober 2020 dan 11 Februari 2021.

Manakala, bagi pertuduhan keempat dan kelima, tertuduh didakwa dengan curangnya menyebabkan Shekeen melupuskan harta milik syarikat iaitu wang syarikat masing-masing berjumlah RM135,000 dan RM95,500, yang juga hasil pembayaran penjualan permit import kenderaan, dengan memindahkan wang berkenaan ke akaun bank milik tertuduh.

Perbuatan didakwa dilakukan di lokasi sama pada 23 November 2021 dan 29 Disember 2021.

Kesemua lima pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Asraf Mohamed Tahir, manakala tertuduh diwakili peguam Khairulazwad Sariman.

Terdahulu, pihak pendakwaan mencadangkan kepada mahkamah jaminan sebanyak RM20,000 bagi kesemua pertuduhan manakala peguam memohon jaminan dikurangkan kepada RM10,000.

Hakim Mohd Zamir kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 April untuk sebutan kes serta penyerahan dokumen.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img