Jangan main mercun, bunga api selepas 12 tengah malam

ORANG ramai dinasihatkan tidak bermain mercun atau bunga api melebihi jam 12 tengah malam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, sebarang aktiviti bermain mercun di tengah malam sehingga mengganggu pihak lain perlu dielakkan untuk menjamin ketenteraman awam.

Menurutnya, peringatan itu bukan sahaja merujuk kepada perayaan Tahun Baharu Cina semata-mata, sebaliknya (untuk semua perayaan) sepanjang tahun.

“Tiada sebarang pilih kasih terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan dan tindakan akan diambil serta-merta kepada sesiapa saja (yang didapati ingkar) kerana ia membabitkan isu ketenteraman awam yang menjadi keutamaan ketika ini,” katanya, lapor Buletin TV3.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Sentul di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Kuala Lumpur hari ini.

Bekas Urusetia Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Asisten Komisioner Basri Sagoni dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Sentul yang baharu bagi menggantikan Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari.

Fadil berkata, pihaknya menegaskan penjualan mercun dan bunga api di sekitar Kuala Lumpur adalah melalui permohonan penjualan.

Katanya, setakat ini pihaknya menerima beberapa aduan berhubung penjualan mercun dan bunga api yang tidak mempunyai permit di sekitar ibu negara.

“Kita pastikan mana-mana jualan yang tidak mempunyai permit dan tidak berlesen akan diambil tindakan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan.

“Hal ini adalah tanggungjawab penguatkuasaan semua agensi yang diketuai oleh polis. Kita hanya mahu memperjelaskan perkara ini kerana ada yang mempertikaikan. Sesiapa yang melanggar, peraturan ditetapkan, tidak kira bangsa, agama, tindakan akan diambil,” katanya.

Semalam media melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan orang ramai bahawa hanya bunga api jenis Pop-Pop dan Happy Boom dibenarkan untuk dijual serta dimainkan sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Fadil dipetik berkata, kebenaran itu diberikan kerana kedua-dua jenis bunga api berkenaan tidak mengandungi bahan bakar yang boleh membahayakan keselamatan umum.

Bagaimanapun, beliau menegaskan penjualan kedua-dua jenis bahan itu masih tertakluk kepada permit yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkaitan mengikut spesifikasi ditetapkan.

“Sesiapa yang memiliki, menjual, membeli dan bermain mercun serta bunga api selain daripada yang dibenarkan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 7 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207),” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img