MARDI terajui kolaborasi nanas MS16 demi jaminan bekalan makanan

KERAJAAN merancang memperluaskan kolaborasi projek tanaman nanas varieti baharu MS16 melibatkan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), termasuk Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memperkukuh jaminan bekalan makanan negara.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPKM, Datuk Luqman Ahmad berkata, inisiatif itu akan diperluaskan susulan kejayaan projek rintis yang sedang dilaksanakan di beberapa negeri.

“Setakat ini, beberapa negeri termasuk Johor dan Selangor telah menjalankan kolaborasi tanaman MS16 dan ia menunjukkan kejayaan yang memberangsangkan.

“Kelantan pula merupakan satu-satunya negeri yang melaksanakan kolaborasi ini secara komersial, melibatkan kerjasama besar antara agensi di bawah kementerian dan NGO,” katanya selepas melawat projek pengeluaran tanaman nanas MS16 di Mukim Padang Bongor, Kota Bharu hari ini.

Menurut Luqman, kawasan yang terlibat setakat ini membabitkan keluasan keseluruhan tujuh hektar, dan projek berkenaan berpotensi membantu kerajaan memastikan bekalan makanan yang lebih terjamin.

“Setakat ini, lebih 10,000 pokok nanas MS16 telah ditanam di beberapa negeri,” katanya.

Jelas beliau, walaupun nanas merupakan tanaman utama yang mengambil masa kira-kira setahun untuk dituai, projek berkenaan turut disokong dengan tanaman jangka pendek seperti keledek, yang boleh dituai dalam tempoh sekitar tiga bulan, bagi menjana pendapatan awal kepada peserta projek.

“Nanas adalah antara tanaman strategik yang ingin kita dorong ke hadapan. Namun, kita juga tanam keledek sebagai sokongan kerana ia boleh dituai beberapa kali setahun,” katanya.

Katanya, projek di Kelantan merupakan projek perintis berskala komersial yang pertama bagi varieti MS16 di negeri itu, dan dijangka mula dituai pada hujung tahun ini.

“Ini adalah lokasi pertama dan setakat ini ia sangat berjaya. Jika ada pihak berminat, ia boleh dilaksanakan melalui kerjasama strategik dengan agensi dan NGO termasuk dari Persatuan Penempatan dan Pemulihan Penjara (PEMAAF),” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, harga nanas MS16 di peringkat tempatan dianggarkan sekitar RM3.50 sekilogram, manakala harga pasaran runcit boleh mencecah RM10 hingga RM15 sekilogram, bergantung kepada saiz dan kualiti.

“Berat sebiji nanas MS16 adalah antara 1.5 hingga 2.5 kilogram. Ini membuktikan kita mampu menghasilkan sendiri hasil berkualiti tinggi tanpa terlalu bergantung kepada import.

“MARDI akan terus memperkenalkan varieti baharu dari semasa ke semasa, dan saya yakin selepas ini lebih banyak agensi akan menyertai inisiatif ini,” katanya.

Beliau menegaskan, pembangunan varieti baharu seperti MS16 adalah sebahagian daripada usaha kementerian untuk meningkatkan daya saing sektor pertanian tempatan serta menjamin keterjaminan makanan negara.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img