Shamsul Iskandar mohon lima kes rasuah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi

BEKAS Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin memfailkan permohonan supaya lima kes rasuah yang dihadapinya dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Shamsul Iskandar ketika dihubungi selepas pengurusan kes berkata, permohonan telah difailkan di Mahkamah Tinggi pada 4 Februari lepas dan ditetapkan untuk pendengaran pada 9 April ini.

Menerusi notis usul, Shamsul Iskandar, 50, memfailkan permohonan itu atas alasan terdapat persoalan dan isu undang-undang yang melibatkan Perlembagaan Persekutuan, dan menegaskan bahawa permohonan itu tidak akan memprejudiskan mana-mana pihak, sebaliknya akan memudahkan kesemua pihak yang terlibat.

Berdasarkan afidavit sokongan yang difailkan bersama notis usul itu, Shamsul Iskandar antara lain menyatakan bahawa kes berkenaan akan melibatkan persoalan undang-undang yang kompleks termasuk pemakaian Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 bagi kes-kes yang melibatkan sumbangan politik serta pentafsiran istilah undang-undang yang bersifat teknikal.

“Sekiranya perbicaraan dijalankan di Mahkamah Tinggi, maka pihak-pihak akan mendapat peluang untuk merayu di Mahkamah Persekutuan, terutama berhubung dengan perkara-perkara yang melibatkan keperlembagaan peruntukan-peruntukan di bawah berkenaan,” katanya dalam afidavit sokongan itu, lapor Bernama.

Pada 4 Disember 2025, Shamsul Iskandar didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan bersetuju menerima suapan secara rasuah bagi dirinya sendiri, iaitu wang tunai berjumlah RM100,000 daripada seorang ahli perniagaan Albert Tei Jiann Cheing, 37, sebagai dorongan untuk membantu syarikat milik Tei mendapat kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah, walaupun perkara itu tiada kaitan dengan hal ehwal prinsipal tertuduh.

Beliau turut didakwa menerima suapan wang tunai RM40,000 daripada Tei bagi tujuan yang sama, serta dua lagi pertuduhan menerima suapan berbentuk kelengkapan perabot dan barangan elektrik bernilai RM14,580.03 dan RM22,249 daripada individu yang sama bagi tujuan serupa.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di premis di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya, di tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Sultan Hishamuddin, Kuala Lumpur dan di Jalan P14a 1/1, Presint 14, Putrajaya, antara  7 Disember 2023 hingga 31 Januari 2024, serta di Jalan P14a 1/1, Presint 14, Putrajaya, antara 24 November 2023 hingga 5 Mac 2024.

Pada 5 Disember tahun lepas, Shamsul Iskandar didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas satu pertuduhan secara rasuah memperoleh suapan berjumlah RM62,924 daripada Tei di sebuah bank di Country Heights, Kajang antara 28 November 2023 hingga 23 September 2024.

Wang berkenaan dimasukkan ke dalam akaun bank seorang wanita bagi tujuan pembayaran sewa sebuah rumah di Kuala Lumpur, dan didakwa sebagai dorongan untuk membantu syarikat milik Tei yang berkepentingan mendapat kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) [Akta 694] dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img