Tiada undang-undang halang siasatan walaupun Shamsul Iskandar didakwa

PIHAK pendakwaan dalam kes rasuah Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin memaklumkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini bahawa tiada sebarang peruntukan undang-undang yang menghalang siasatan dijalankan walaupun beliau telah didakwa tahun lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan memaklumkan demikian kepada mahkamah selepas peguam kepada bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri itu membangkitkan isu berkenaan, semasa sebutan kes.

Peguam Shamsul Iskandar, Datuk Amer Hamzah Arshad sebelum ini memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya ingin mendapatkan kepastian sama ada siasatan terhadap anak guamnya telah lengkap atau masih berjalan.

“Sekiranya siasatan masih berjalan, tidak adil untuk pertuduhan diteruskan terhadap anak guam kami,” kata Amer Hamzah di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Farah Ezlin bagaimanapun membalas pihaknya tidak melihat terdapat sebarang undang-undang yang menghalang perkara itu dilakukan walaupun tertuduh telahpun didakwa di mahkamah.

“Berhubung isu siasatan yang masih berjalan seperti yang dibangkitkan pihak pembelaan, saya tidak melihat terdapat sebarang undang-undang yang menghalang perkara itu dilakukan walaupun tertuduh telahpun didakwa di mahkamah… tiada isu ketidakadilan timbul,” katanya.

Sementara itu, Amer Hamzah memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan telah memfailkan permohonan untuk memindahkan kes ini ke Mahkamah Tinggi pada 4 Februari, dengan pendengaran ditetapkan pada 9 April.

Farah Ezlin bagaimanapun berkata, pihak pendakwaan akan membantah permohonan untuk memindahkan kes itu.

Pihak pendakwaan juga telah menyerahkan sebahagian dokumen berkaitan kes kepada pihak pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tata Cara Jenayah, katanya.

“Bagaimanapun, terdapat beberapa dokumen yang masih memerlukan pemerhatian, dan pihak kami memohon masa untuk menyerahkan baki dokumen tersebut,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 8 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Pada 4 Disember 2025, Shamsul Iskandar, 51, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan bersetuju menerima suapan berjumlah RM100,000 daripada Albert Tei Jiann Cheing, 37, sebagai dorongan untuk membantu syarikat milik ahli perniagaan itu mendapat kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah walaupun perkara tersebut tiada kaitan dengan hal ehwal prinsipal tertuduh.

Shamsul Iskandar turut didakwa menerima suapan wang tunai RM40,000 daripada Albert bagi tujuan sama, serta dua lagi pertuduhan menerima suapan berbentuk kelengkapan perabot selain barangan elektrik bernilai RM14,580.03 dan RM22,249 daripada ahli perniagaan itu bagi tujuan serupa.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan antara 24 November 2023 hingga 5 Mac 2024.

Pada 5 Disember tahun lalu, Shamsul Iskandar turut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas satu pertuduhan secara rasuah memperoleh suapan berjumlah RM62,924 daripada Albert di sebuah bank di Country Heights, Kajang antara 28 November 2023 hingga 23 September 2024.

Mengikut pertuduhan, wang itu dimasukkan ke akaun bank seorang wanita bagi tujuan pembayaran sewa sebuah rumah di Kuala Lumpur sebagai dorongan untuk membantu syarikat milik Albert yang berkepentingan mendapat kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Shamsul Iskandar didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Kes di Mahkamah Sesyen Shah Alam dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img