Duda langgar syarat POCA, curi kereta, terpaksa merengkok penjara 54 bulan

DUDA yang sepatutnya menamatkan tempoh pengawasan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 bulan ini, terpaksa merengkok dalam penjara kerana melanggar syarat serta mencuri kenderaan.

Mas Nurazslan Abdoll Mulop, 42, dijatuhi hukuman penjara 54 bulan selepas mengaku bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Arun Noval Dass, lapor Harian Metro.

Bapa dua anak itu didakwa mengikut Seksyen 15 (2) (e) Akta POCA 1959 kerana melanggar syarat pengawasan polis dengan meninggalkan kawasan di Parit Lubok, Semerah, Batu Pahat, jam 8.30 malam 28 Januari lalu.

Selain Seksyen 15 (2) (e), tertuduh juga boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (4) akta sama (Akta 297) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mencuri sebuah kereta milik lelaki berusia 35 tahun di lokasi sama pada jam 11 pagi 27 Januari dan didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan

Berdasarkan fakta kes, polis membuat pemeriksaan rutin di tempat tinggal tertuduh dan mendapati dia yang ketika itu sedang menjalani pengawasan tambahan selama 10 bulan sehari selepas tempoh asal bermula 24 Mei 2023 hingga 6 April 2025 berakhir, tiada di lokasi berkenaan.

Polis kemudian berjaya menahan tertuduh dalam sebuah kereta di Taman Paya Emas, Melaka pada jam 3.30 petang 11 Februari. Kereta berkenaan didapati dilarikan Mas Nurazslan selepas pemiliknya memberi kebenaran untuk tertuduh menggunakan kenderaan itu sepanjang menjalani perintah pengawasan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad, manakala tertuduh diwakili peguam, Suhaila Shafi’uddin daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun berkuat kuasa tarikh tangkap, manakala pertuduhan kedua hukuman penjara 18 bulan bermula hari sabitan hari ini, dengan kedua-dua hukuman berjalan serentak.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img