DUA lelaki yang membawa dadah disyaki jenis syabu dianggarkan bernilai RM1.5 juta ditahan polis di Kilometer 236.9, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) dekat Pedas, Rembau, 12 Februari lalu.
Kedua-dua suspek berusia 30-an itu ditahan hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Negeri Sembilan serta Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, hasil siasatan mendapati dadah berkenaan untuk dipasarkan di sekitar selatan tanah air dan dua suspek itu bertindak sebagai transporter.
“JSJN Negeri Sembilan dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Rembau dan dibantu EMPV JSPT Bukit Aman melancarkan satu operasi susulan maklumat serta risikan berkaitan aktiviti pengedaran dadah didalangi warga tempatan.
“Bertindak atas maklumat dan risikan yang dijalankan, pasukan operasi menahan sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang dinaiki dua lelaki tempatan di tepi lebuh raya,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan hari ini, lapor Harian Metro.
Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut ke atas kereta, polis menemui dua guni plastik masing-masing berisi 15 bungkusan teh Cina.
“Pemeriksaan lanjut membawa kepada rampasan 30 bungkusan berisi bahan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 30,601 gram dan nilainya dianggarkan RM1.56 juta.
“Kuantiti ini dipercayai mampu menampung kira-kira 30,000 penagih dan berpotensi memberi impak besar kepada masyarakat sekiranya berjaya dipasarkan.
“Dadah ini dipercayai dari Puchong, Selangor. Siasatan awal mendapati kegiatan ini aktif sejak 2025 dan dipercayai menyasarkan pasaran di negeri sebelah selatan,” katanya.
Alzafny berkata, hasil semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod kesalahan narkotik dan memiliki barang curi.
“Kami difahamkan dua suspek ini bertindak sebagai transporter dan mereka berasal dari satu daerah di Johor dan bekerja sebagai mekanik serta nelayan. Kedua-duanya adalah rakan sekampung.
“Mereka direman selama tujuh hari bermula 13 Februari lalu dan tamat pada hari ini bagi membantu siasatan. Permohonan reman baharu dibuat dan disambung selama empat hari lagi.
“Hasil ujian saringan urin juga mendapati suspek positif dadah jenis methaphetamine. Kami yakin masih terdapat ahli sindiket lain dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.


